Tuesday 27 May 2014

Dua Pelajar Jepun Berminat Mendalami Islam Dan Mengikuti Ancaman Feminisme


BANGI, 21 Mei – Usrah Umum yang bertajuk “Feminisme” pada malam itu, turut menarik minat dua orang pelajar Jepun, Miss Rina dan Mr. Yuki untuk hadir untuk mendalami Islam dan mengikuti ancaman feminisme di Malaysia.

Usrah ini telah menarik perhatian mereka apabila terdapat banyak ayat Al-Quran dipaparkan di dalam pembentangan Prof. Madya Dr. Rafidah berkait dengan beberapa hukum penting. Antaranya termasuklah hukum bertudung, sehingga mereka berminat untuk mengetahui tentang hukum asal bertudung.

Prof. Madya Dr. Rafidah turut menjelaskan bahawa isu hijab adalah di antara hujah pro-feminis untuk mengelirukan ramai tentang kewajipannya. Sedangkan prinsip bertudung ada dijelaskan di dalam Surah An-Nur, ayat 31 di mana Allah memerintahkan supaya perempuan yang beriman menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala serta larangan memperlihat perhiasan tubuh mereka.

Dua orang pelajar Jepun yang hadir itu turut bertanya mengenai had aurat wanita dalam Islam, berikutan terdapat pelbagai gaya dan cara memakai tudung dan mereka juga keliru mengapa terdapat pelajar sekolah dan universiti yang tidak bertudung selepas tamat waktu persekolahan atau pengkuliahan. Mereka ingin mengetahui, adakah lebih ‘standard’ untuk tudung.

Berhubung pertanyaan tersebut, Dr. Rafidah menyatakan secara ringkas mengenai prinsip asas menutup aurat berpandukan Surah An-nur, ayat 30-31 dan Al-Ahzab, ayat 59 serta beberapa hadis sahih berkenaan aurat dan tudung.

“Daripada ‘Aishah r.a.: Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…” serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Ibn Jarir)

“Orang Arab dahulu hanya mengenakan tudung di kepala sahaja, manakala leher mereka dibiar terdedah, disebabkan itulah turun perintah Allah secara berperingkat-peringkat supaya wanita melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dada bagi membezakan ciri-ciri wanita jahiliyyah dengan wanita Islam.”

Demikian penerangan beliau kepada kedua-dua pelajar tersebut. Tegas beliau, segala hukum yang diterangkan itu adalah berpandukan Al-Quran dan Hadis supaya masyarakat lebih jelas dengan arahan yang diperintahkan oleh Allah. Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap Miss Rina dan Mr. Yuki atas kesudian mereka hadir ke majlis perkongsian ilmu tersebut dan mendoakan agar Allah memberikan hidayah kepada mereka.


Maisarah Shahrain,
Wartawan PEMBINA UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting