Saturday 24 May 2014

Gerakan Feminisme Ditaja Barat, Tuntut Kebebasan Terhadap Homoseksual


BANGI, 21 Mei – “Meneliti ideologi feminisme, ia merupakan kepercayaan yang bersumberkan dari barat tentang kesamarataan gender dalam aspek sosial, ekonomi mahupun politik, dan gerakan ini muncul dari hakikat masyarakat Barat yang dahulunya memandang rendah terhadap kaum wanita.”

Jelas Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar di dalam program Usrah Umum yang bertempat di Fakulti Sains Sosial, UKM.

“Kronologi pembebasan wanita bermula daripada Revolusi Perancis pada tahun 1789 apabila Declaration of the Right of Man and Citizen yang sekular gagal memberikan status yang sah kepada wanita. Akibat ketidakpuasan hati dari isi kandungan bible yang menghina wanita, Elizabeth Cady menerbitkan buku The Women Bible.

Demikian kata Dr. Rafidah tentang isu feminisme. Beliau yang merupakan pensyarah dalam bidang Fisiologi, UIAM dan juga aktivis ISMA tampil memberi pencerahan kepada hadirin yang hadir. Beliau turut membandingkan isi yang terkandung di dalam kitab Bible dan juga Al-Quran.

Menurut beliau, pada tahun 1970-an, gerakan feminisme seterusnya mengembangkan konsep kesetaraan gender yang dipengaruhi oleh sosial, budaya, agama dan hukum. Gerakan Feminisme Lesbian yang bertapak ini juga dinamakan gelombang kedua feminisme. 

 “Perjuangan LGBT mendapat tempat setelah berlaku sejarah penyeksaan ke atas kaum yang terlibat dalam amalan homoseksual. Sejarah ini menimbulkan rasa simpati dan seterusnya Barat menuntut kebebasan tanpa had terhadap wanita dan homoseksual.” Tambah beliau.

“Persoalannya, adakah Islam mempunyai masalah di mana mereka tidak mendapat hak yang sepatutnya? Islam tidak pernah dipersalahkan seperti Kristian kerana Islam tidak pernah ada rekod bertindak kejam di atas beberapa orang atas kekuasaan yang ada sepertimana golongan gereja yang berkuasa menindas rakyatnya.”

Beliau berkata lagi, gerakan sebegini ditaja oleh Barat bagi mengembangkan kajian dan fahaman tersebut dalam masyarakat sepertimana yang dilakukan Amerika Syarikat kepada Indonesia dalam sebuah program Indonesian Pesantren Development Program. Di Malaysia, gerakan feminisme oleh Sisters in Islam (SIS) antara yang mendapat dana dari barat untuk mempromosi feminisme.

“Apabila ditaja, tidakkah mereka terikat dan terpengaruh dengan ajaran yang diberi?

“Bagi feminis muslim, mereka tak akan dapat keuntungan kalau berjuang di luar kerangka Islam, tetapi perlu berjuang di dalam kerangka Islam.” Terang beliau apabila kebanyakan tokoh feminisme ini merupakan graduan pengajian Al-Quran dan hadis.

Hadirin turut didedahkan dengan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) yang merupakan platform perjuangan feminisme walaupun di rantau timur. Katanya lagi, sebagai orang Islam, kita perlu bersedia dengan agenda musuh. 

Usrah Umum yang terakhir untuk semester ini bertambah menarik lagi dengan kehadiran dua orang pelajar Jepun yang berminat untuk mengetahui isu feminisme dan ajaran Islam yang sebenar.

Program ini dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada mahasiswa UKM untuk fokus pada peperiksaan akhir semester yang bakal menjelang tidak lama lagi.


Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM


0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting