Tuesday 27 May 2014

Tazkiyatun Nafs - Menuju Cinta Allah


BANGI, 23 Mei – “Penyucian jiwa adalah penting kerana dengan jiwa yang bersih, dapat membentuk akhlak yang mulia.”

Demikian kata graduan Maahad Qiraat Mansoura, Pn. Nadwa Kasim di dalam slot pengisian sewaktu Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) yang berlangsung di Masjid UKM. Menurut beliau, tazkiyah itu berasal daripada perkataan ‘zakat’ yang membawa maksud suci manakala, ‘nafs’ itu pula bermaksud jiwa. Dalam proses penyucian jiwa itu, memerlukan mujahadah yang tinggi untuk menghasilkan jiwa yang betul-betul bersih dan tenang.

“Cara mencapai tazkiyatun nafs lebih kepada praktikal seperti ibadah solat, puasa, zikir, bermuhasabah diri, ingat mati, membaca Al-Quran serta banyak lagi dan ibadat-ibadat ini mestilah dilakukan dengan sempurna.

Setelah itu, beliau menyampaikan mafhum di dalam surah Al-Anfal (8:2), iaitu tentang apabila membaca ayat-ayat Al-Quran, semakin bertambahlah iman seseorang.

“Dengan adanya kefahaman dalam ibadat yang dilakukan, barulah kita dapat menyucikan jiwa. Sebagai contoh, apabila solat, kita faham bahawa kita adalah hamba yang hina, maka solat itu akan menjadikan kita tidak sombong dan mudah patuh pada perintah Allah seterusnya, tiada masalah apabila kita hendak berurusan dengan manusia.”

Menurutnya lagi, Allah telahpun menceritakan tentang penyucian jiwa ini di dalam surah As-Syams di mana, Allah bersumpah sebanyak 11 kali di permulaan ayat, dan kemudiannya barulah Allah menjamin bahawa beruntunglah orang yang menyucikan jiwa ini pada ayat yang ke-9. Antara lain, beliau turut memasukkan konsep puasa dalam cara ingin memelihara syahwat.

“Terdapat tiga jenis puasa; puasa orang awam, puasa orang khusus dan puasa orang super khusus.

“Perbezaan antara ketiga-tiga ini adalah dari segi cara puasa mereka; jika orang awam, puasanya adalah dengan tidak makan dan minum dan menahan syahwat bermula dari subuh sampai maghrib, bagi orang khusus pula mereka turut melakukan benda yang sama tetapi mereka menjaga anggota badan daripada perkara yang dilarang, manakala orang super khusus turut melakukan perkara yang dibuat oleh orang awam dan khusus, tetapi mereka juga puasa hati.” Ulas beliau.

Setelah itu, beliau mengingatkan kepentingan tazkiyatun nafs iaitu, menjadi tanggungjawab manusia menyampaikan kebaikan dan cegah kemungkaran setelah kewafatan Rasulullah dan penyucian jiwa merupakan satu-satunya syarat untuk kita menjadi orang yang berjaya.

“Jiwa ini diibaratkan gelas yang penuh lumpur, apabila tuang air, gelas tersebut menjadi kotor; apabila jiwa kita kotor, masuklah benda baik sekalipun, tidak akan member manfaat kepada diri mahupun orang lain.”

Tambah beliau lagi, betapa pentingnya menjaga dan memperbaharui niat, agar jiwa bersih semula setelah pelbagai usaha bisikan syaitan untuk memesongkan hati.

Program MABIT ini dijalankan sebulan sekali dan merupakan satu daripada pakej Tarbiyah yang ditawarkan oleh PEMBINA.



Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM



0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting