Tuesday 2 December 2014

Gerabak Dakwah


Lelah bukan alasan 
Melepaskan beban
Dari bahu yang memikul

Jalan ditempuhi
Bukan pendek
Memerlukan semangat dan kefahaman
Tarbiyah menjadi pasak
Untuk terus teguh berdiri

Kau tidak seorang diri
Dalam liku dakwah ini
Kita bersama
Dalam satu gerabak
Gerabak Dakwah

Dakwah dan tarbiyah itu diibaratkan seperti isi dan kuku. Mana mungkin dapat dipisahkan. Tanpa tarbiyah, tidak lahir dakwah. Dakwah itu sesuatu yang berat, oleh itu, tarbiyah perlu ada untuk memupuk individu bersedia dari segi mental, jiwa dan fizikal bagi melepasi rintangan yang akan dilalui. 

Berbicara soal dakwah, perjuangan di jalan ini tidak mungkin berjaya sekiranya ditempuhi sendirian. Tarbiyah sahaja tidak mampu mengukuhkan kedudukan kita dalam perjuangan dakwah. 

Kenapa?

Sebab kita manusia biasa yang akan lemah dan boleh futur bila-bila masa. Oleh itu, pentingnya ukhuwah sebagai pengikat kekuatan yang akan saling menyokong andai seorang daripada kita rebah. Ukhuwah juga penting supaya setiap individu saling mengingatkan antara satu sama lain tentang keberadaan kita di jalan ini. Hal ini secara tidak langsung akan membantu kita memperbaharui niat dalam setiap tindakan.

Dari ukhuwah, lahirlah 'gerabak dakwah'. Dari satu unit-unit kecil lahir satu gerabak yang akan memandu kenderaan ini menuju destinasinya. Individu yang berada dalam gerabak ini umpama komponen-komponen penting dalam pembinaan kenderaan. Ada piston, cable, spark plug dan banyak lagi. Masing-masing mempunyai peranan yang istimewa. Tiada yang tidak berfungsi. Tarbiyah umpama pelincir yang akan melancarkan pergerakan pam minyak dan seterusnya mengagihkan tenaganya ke komponen-komponen enjin yang lain. Apabila semua komponen ini bersatu, maka cekaplah pemanduan kenderaan ini. Sekiranya rosak, cacatlah fungsinya. 


Begitu juga kita sebagai individu yang menggerakkan dakwah. Kita semua adalah penting. Tidak kiralah sumbangan kita kecil atau besar. Jika salah seorang daripada kita hilang, maka terbantutlah perjalanan ini. Dalam 'gerabak' ini kita perlu sentiasa pandang ke hadapan dan bersedia akan halangan yang bakal kita tempuhi. Matlamat perjalanan perlu jelas dan perancangan perlu rapi dan terkehadapan. Perlu lebih hebat daripada perancangan musuh.

Ayuhlah sama-sama kita menggerakkan gerabak ini agar lebih lancar dan lebih ramai lagi yang akan menyertai perjalanan ini. 


Mengharungi samudera kehidupan
Kita ibarat para pengembara
Hidup ini adalah perjuangan
Tiada masa untuk berpangku tangan

Setiap titis peluh dan darah
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah
Kan menjadi saksi pengorbanan

Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Quran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan Allah adalah
Cita-cita kami tertinggi
-shoutul harakah, bingkai kehidupan-



Maisarah Shahrain
Media PEMBINA UKM




0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting