Wednesday, 10 October 2012

"JANGAN MARAH, DAN BAGIMU SYURGA"





HADIS KE-16

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w: “Berilah aku nasihat.” Baginda bersabda: “ Jangan marah.” Maka orang itu mengulangi (permintaannya) beberapa kali, Nabi menjawab: “ Jangan marah!”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menceritakan tentang nasihat Nabi kepada seorang lelaki iaitu Abu Darda’ r.a. Walaupun hadis ini dikhususkan kepada orang yang bertanya iaitu Abu Darda’ akan tetapi nasihat ini sangat berguna untuk umat manusia. Marah merupakan suatu perasaan yang sangat besar kesannya ke atas diri individu. Apabila seseorang itu tidak mampu untuk menahan kemarahannya maka akan timbullah pelbagai keburukan. Nabi s.a.w menasihati umat manusia supaya jangan marah adalah jelas menunjukkan bahawa sifat marah itu bukanlah perkara yang baik. Berdasarkan nasihat ini juga Nabi s.a.w menganjurkan supaya umatnya berakhlak mulia seperti penyayang, lemah lembut dan rendah hati. Nabi s.a.w juga menyarankan supaya umatnya bersabar dalam menghadapi musibah dan bergaul sesama manusia dengan akhlak yang terpuji.
Dalam mencapai usaha menahan kemarahan, terdapat beberapa resepi yang dapat dijadikan panduan, antaranya:
·         Berlindung kepada Allah s.w.t dengan menbaca ta’awuz.
·         Ingat kepada manfaat menahan marah.
·         Berwudhu’
·         Menukar posisi tubuh dari berdiri kepada duduk atau duduk kepada baring.
·         Ingat kepada kemarahan Allah bahawa kemarahan-Nya lebih dari kemarahan kita dan sebagainya.

Terdapat sebuah kisah yang menceritakan seorang pelayan dengan majikannya tentang menahan kemarahan. Dikisahkan bahawa seorang pelayan sedang membawa makanan untuk tuannya. Tiba-tiba pelayan itu tergelincir dan makanan yang dibawanya terjatuh menimpa tuannya. Maka meledaklah kemarahan tuannya itu, ketika melihat perkara itu pelayan tersebut berkata: “ Wahai tuan, ingatlah firman Allah s.w.t.” Tuan itu berkata: “ Apa firman Allah s.w.t itu?” Pelayan tersebut menjawab: “ Allah s.w.t berfirman: : dan orang-orang yang menahan kemarahannya.” Si tuan berkata: “ Ya, saya sedang menahan kemarahan.” Pelayan itu berkata: “ dan orang-orang yang memaafkan orang.” Si tuan berkata: “ Ya, saya telah memaafkan kamu.” Pelayan itu berkata lagi: “Allah s.w.t menyukai orang-orang yang berbuat baik.” Si tuan menjawab: “Kamu bebas kerana Allah.” Kemudian tuan itu memberi pelayannya seribu dinar.
Kata Hikmah: “ Marah itu punca penyesalan.”




NURUL HAJJAR BINTI ATAN
KOMUNIKASI DAN DASAR AWAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

poster promo ikhwah
picture hosting