Monday 4 November 2013

HIJRAH, INILAH MASANYA!



Dunia hari ini menyaksikan pertembungan yang amat dahsyat dan kritikal dalam sejarah peradaban ketamadunan sesebuah generasi. Baik dari sudut akidah, ibadah dan akhlak yang tidak pernah luput lebih-lebih lagi aspek jenayah.

Jika hari ini kita melihat hanya disebabkan perbezaan satu hari pada awal Muharram menjadikan kita bertelagah, usah cerita bagaimana mahu mendepani krisis seperti yang berlaku di negara luar seperti bumi Palestin, Syria, Mesir dan sebagainya.

Jika hari ini kita menyaksikan PRK Dun Sg. Limau mahupun PRK di kampus universiti, hanya disebabkan perbezaan fahaman parti akhirnya kita disibukkan dengan kelalaian percakaran lantas terabai isu addin ini. Itu yang menjadikan para mahasiswa terkinja-kinja mencedok dan meniru gaya sampah ini.

Jika hari ini kita dihidangkan dengan pelbagai rasa gula-gula di seluruh jaringan media sosial, ianya cukup membuatkan para musuh agama kita bertepuk tangan bergembira.

Jadi apa lagi sebenarnya yang kita mahu? Semuanya telah kita turuti dek kerambangan mata kita untuk memilih mana yang hak mana yang tidak. Mahasiswa hari ini lesu. Saya tidak nampak ke mana hala tuju mereka kepada negara selepas ini.

Huh!

Justeru, bersempena dengan hari yang mulia dalam bulan yang mulia ini, kami dari Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UKM menyeru seluruh mahasiswa sama ada di dalam mahupun di luar negara agar sama-sama kita menyambut baik kehadiran tahun baru dalam Hijrah ini sebagai batu loncatan kepada amal kehidupan harian kita.

Letakkan matlamat dan azam pada tahun baru ini untuk menjadi 1000 kali lebih jauh kehadapan berbanding sebelum ini. Tinggalkan jahiliah, kekeruhan mahupun perangai ‘lama’ , dan kita junjung, kita julang kemurnian cahaya hidayah yang indah di depan mata.

Akhir kalam, kami mendoakan agar pengorbanan dan kesanggupan diri kalian untuk berubah hari ini bakal menjadi nadi utama serta pencorak masa depan dunia Islam ini. Semoga kita dapat bertemu pada hari Asyura yang mendatang tanggal 10 Muharram nanti, mengambil ibrah dari kisah agung sirah para umat terdahulu.

Salam Maal Hijrah buat semua.


“Membangun Arus Mahasiswa”


Hanafi Muidnudin
Ketua Biro PSM
PEMBINA UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting