Wednesday 6 November 2013

TAHUN BARU, HIDUP BARU


    Alhamdulillah, pada ketika ini kita telah memasuki tahun baru Hijrah. Dan waktu ini adalah saat paling tepat untuk merenung kembali arah hidup kita, terutama yang berkaitan dengan prinsip dan nilai yang menjadi asas aktiviti kita. Begitu juga persepsi dan sudut pandangan kita dalam melihat kehidupan ini. Bukan mustahil, panduan hidup kita selama ini sebenarnya salah atau kabur, sehingga menyebabkan berbagai permasalahan hidup yang menyeksa diri kita sendiri.

Niat kita, hidup kita

Sering kali kita mendengar tentang hadis Nabawi yang pertama yang diriwayatkan dari Amirul Mukminin Abu Hasfh ‘Umar bin al-Khathab r.a, ia berkata:
       “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, : “Sesungguhnya setiap amal itu tergantung dari niatnya, dan sesungguhnya seseorang itu hanya mendapatkan sesuai dengan apa yang diniatkannya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya(dinilai) kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa hijrahnya kerana dunia yang hendak diraihnya atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka (hakikat) hijrahnya itu hanyalah kepada apa yang menjadi tujuan hijrahnya”. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

     Jelaslah di sini menunjukkan niat seseorang sangat penting kerana ia akan menentukan perjalanan kehidupan kita. Dan Allah memperlakukan kita sesuai dengan niat kita. Tidak terkira berapa banyak orang yang sengsara dalam mengharungi bahtera hidup ini lantaran keliru memasang niat di awal perjalanan.

       Orang yang “tersalah niat” dalam mencari harta akan hidup bagai hamba sahaya. Ia melihat wang dan kekayaan sebagai tujuan utama sehingga senantiasa dibayangi kefakiran dan takut miskin.

      Orang yang “tersalah niat” dalam belajar menghabiskan hidupnya untuk perkara yang sia-sia. Ia membuang energi untuk mengejar ijazah, bukan untuk menimba ilmu. Padahal selembar kertas hanya memberikan kemuliaan palsu, bukan hakiki. Kaum Muslimin khasnya, dan masyarakat dunia amnya, kita seharusnya memuliakan seseorang kerana sumbangan yang diberikan, bukan kerana ijazah yang dipegang.

         Orang yang “tersalah niat” dalam berdakwah akan hidup dalam kebencian. Masyarakat membencinya dan ia membenci mereka. Hakikat dakwah adalah simpati yang lahir dalam hati lalu mendorongnya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kebinasaan. Jika dakwah berakhir dengan kebencian, mesti ada yang salah dalam motif dan niat awal dakwah tersebut.

Pakar Dunia, Jahil Akhirat

       Dan yang paling rosak adalah orang yang “tersalah niat” , bahkan “tidak punyai niat” dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Orang seperti ini tidak sedar arah dan tujuan hidupnya. Bagi mereka hidup ini tidak lain setakat silih berganti siang dan malam. Tidak ada hisab yang harus dipersiapkan dan tidak ada misi yang akan dilaksanakan.

        Hidup seperti ini adalah hidup manusia yang tertutup mata hatinya. Mereka sangat pandai dalam urusan dunia, namun sangat jahil tentang urusan akhirat. Sifat seperti ini ada pada orang kafir namun sayangnya sifat ini turut berlaku dalam kalangan profesional Muslim pada masa ini. Keadaan ini digambarkan oleh Imam Hasan al-Basri sebagai berikut: “Kerana kepandaiannya, salah seorang daripada mereka mampu mengetahui kadar emas hanya dengan mengetuk dengan jari. Namun, ia tidak boleh melakukan solat dengan benar.” (Disebut oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya).

Orang yang lurus niatnya

          Bagi orang yang “lurus niatnya”, hidup ini adalah pentas untuk membuktikan kehambaan dan penyerahan dirinya kepada Allah SWT. Dengan yakin ia berkata: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah , Tuhan semesta alam.”(Surah al-An’am 6:162)

         Ucapan ini kemudiannya dipraktikkan dalam setiap percakapan dan perlakuan yang ia lakukan setiap hari. Bagi orang seperti ini, hidup hanya bermakna apabila ia digunakan untuk memperoleh kebahagiaan akhirat. Setiap kali  bekalan akhiratnya bertambah, hatinya bergembira meskipun simpanan dunianya berkurangan. Hidup orang ini sentiasa dalam ketenangan dan kebahagiaan di bawah naungan tawakal dan bersangka baik kepada Allah SWT.

         Konsep kejayaan bagi orang seperti ini bukan diukur pada kekayaan atau jawatan, apatah lagi pada ijazah atau ramainya pengikut. Namun, kejayaan hakiki ialah apabila seseorang itu mampu menggunakan kekayaan,jawatan,ijazah dan karismanya untuk melaksanakan hukum Allah SWT di muka bumi. Inilah kejayaan hakiki yang perlu kita cita-citakan bersama.

Hijrah

Nah, pada awal tahun baru ini mari kita renungi sejenak dan ajukan beberapa soalan asas berkenaan dengan hidup kita. Adakah niat dan visi yang kita pegang selama ini benar? Ke manakah arah hidup kita selepas ini? Apa ukuran kejayaan yang menjadi ukuran kita? Dan yang lebih penting, apakah target yang mesti kita raih selama puluhan tahun hidup kita di dunia ini?

Setiap orang mesti mempunyai jawapan yang berbeza-beza. Tulis jawapan anda besar-besar dan tampalkan di dinding bilik anda. Apabila anda melakukannya,  anda sebenarnya telah selangkah menuju redha Allah. Terpulang kepada diri , apakah masih ingin meneruskan perjalanan hijrah ini atau berhenti di tengah jalan. Wallahu a’lam.

#edited  from solusi isu no.27




Nor Syamimi Che Johari
Bendahari
PEMBINA UKM






0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting