Wednesday 20 November 2013

MENGUTIP HIKMAH DARI ALAM

Mengutip hikmah dari alam

Gambar Hiasan
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya) dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya. (Surah Ar-Ra’d:4)

Alhamdulillah, segala pujian hanya bagi Allah yang telah menciptakan segala kepelbagaian haiwan dan tumbuhan di muka bumi ini. Sungguh, demi Allah, jika tiada tumbuhan-tumbuhan, haiwan-haiwan, kulat, bakteria, protista, virus, maka hilanglah keseimbangan kehidupan dalam dunia ini. Dalam kita melayari kehidupan ini, kita kadangkala terlepas pandang akan perkara-perkara yang menjadi sumber tarbiyah kita sendiri yakni alam ciptaan Allah di sekitar kita (UKM).

Perkara kecil yang besar

Gambar Hiasan
Selalu apabila kita berjalan dari perhentian bas PUSANIKA ke Fakulti Pengajian Islam, keadaannya sangat sejuk dan dipenuhi tumbuhan hijau. Malah terdapat lumut-lumut yang berwarna hijau kekuningan turut tumbuh di sekitar laluan pejalan kaki. Tahukan kalian lumut itu hanya boleh tumbuh apabila udara disekitarnya betul-betul segar dan tidak tercemar, lalu tidakkah kita mensyukuri akan nikmat yang besar ini, nikmat bernafas udara yang segar? Bahkan ada di kalangan kita yang turut mencemarkan udara melalui rokok, yang hanya mendatangkan kerosakan pada badan dan alam. Astaghfirullah.

Satu lagi perkara yang kita anggap kecil seperti membuang sampah merata-rata yang sebenarnya menunjukkan akhlak kita kepada alam. Sebagai contoh, habis memakan makanan ringan ‘Tam-Tam’ yang dibeli di FST dibuang merata-rata dicelah-celah bangunan. Ditakdirkan pula air bertakung, dan nyamuk bertelur. Selepas itu, tulis di ‘UKM Confession’ UKM ini banyak nyamuk, sedangkan salah satu puncanya datang dari diri sendiri. Hal ini seharusnya kita ambil peduli.

Tadabbur dan muhasabah

Merenung alam dan berfikir bukanlah perkara yang membazir masa kerana menurut Dr Aidh bin Abdullah al-Qarni dalam bukunya; Jagalah Allah...Allah menjagamu, antara cara untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah melalui ciptaan-Nya. Alam ini banyak mengajar hikmah kepada perkara dalam kehidupan kita dari segenap sudut. Tidakkah kita boleh belajar dari akar-akar pokok di sekitar lereng-lereng bukit di sebelah PTSL akan kerjasama yang kukuh antara individu-individu sekelilingnya untuk menjaga tanah daripada  runtuh. Subhanallah. Bukankah kita boleh berbaik-baik dan saling menjaga masing-masing daripada saling bercakaran  dan menimbulkan isu-isu kenegerian yang tidak berkesudahan.

Penutup

Masih banyak lagi perkara yang kita boleh contohi dari alam sekeliling kita, hanya perlu berfikir dan bermuhasabah. Manusia sememangnya perlu diingatkan selalu melalui peringatan-peringatan dari Allah dari semasa ke semasa. Hal ini demikian kerana seorang manusia itu sifatnya pelupa. Jagalah Allah, Allah menjagamu. Jagalah alam, akan tenang siang malam. Insya’ Allah. 

Wallahu’alam.



NAJMUDDIN MOHD FAUDZIR
AJK AKTIVISME
PEMBINA UKM.


0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting