Monday 13 January 2014

Fahaman Feminisme Melanggar Acuan Syariat



Wanita masih keliru, mana yang benar dan mana yang palsu. Sifat ingin memimpin dan menjadi penguasa dunia semakin membuak-buak di dalam kalbu sehingga sanggup menggadaikan pegangan yang menjadi bekalan sejak 1400 tahun dahulu lagi. Dewasa ini, wanita berlumba-lumba mengejar pangkat dan harta. Wanita bersengkang mata berusaha menjadi lebih hebat daripada lelaki dan wanita bersungguh-sungguh ingin mencapai kuasa yang setaraf dengan lelaki. Apakah itu salah di sisi syariat Islam?

Telah banyak hal ini diperbincangkan bahkan menjadi perdebatan antara ahli akademik dan agamawan tentang peranan dan tanggungjawab sebenar seorang wanita Islam. Rentetan sejarah mencatatkan ketinggian wanita itu diangkat oleh Islam daripada kemelut jahiliyah yang menghitam. Wanita ketika zaman jahiliyah sungguh hina, jijik dan dituduh pembawa bala kematian kepada keluarga. Namun apabila cahaya Islam datang, wanita Islam menjadi mulia dan diangkat martabatnya setara dengan lelaki. Kesetaraan apakah yang diangkat oleh Islam terhadap wanita dengan lelaki? Di dalam al-Quran sendiri, Allah telah mengkhususkan satu surah khas untuk kaum wanita iaitu Surah an-Nisa. Allah juga mencatatkan di dalam al-Quran tentang keserataan pahala dan amalan yang diberikan kepada wanita sama seperti lelaki iaitu, pahala membuat amal kebajikan, berdakwah, menuntut ilmu dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, apa yang menyedihkan hari ini, wanita semakin hilang rasa malu, wanita semakin hilang rasa izzah (bangga) dengan ketinggian mereka yang diangkat oleh Islam. Setiap inci hukum syariat dipertikaikan oleh mereka sehingga seolah-olah Islam sudah tidak adil lagi. Acuan fahaman liberal yang sedang diseludup masuk oleh barat ke dalam pemikiran wanita semakin membatasi ketinggian syariat. Bahkan hal ini telah menjadi normalisasi dalam masyarakat. Hukum menutup aurat dibahaskan, hukum mentaati suami diperdebatkan, dan hak memiliki harta menjadi untaian pertikaian. Apakah ini suatu perkara yang ‘normal’ pada pemikiran wanita Islam yang sebenar?

Barat, telah membawa fahaman liberalisme dengan menjadikan feminisme sebagai alat pertikaian. Sedikit rentetan sejarah tentang liberal feminism  bermula dari kurun ke 19 lagi, Elizabeth Cady Stanton antara feminist yang sungguh aktif memperjuangkan feminisme dari segi pendidikan dan hak-hak wanita yang sangat tidak adil ketika itu. Kemudian pada kurun ke 20 pula, di Amerika Syarikat, Betty Friedan antara pejuang feminisme moden yang kental dalam memperjuangkan hak wanita bekerja. Friedan menjadi pencetus kepada pemikiran feminisme moden kerana dia merasakan wanita yang telah berkahwin dan bekerja sangat terbeban dengan tanggungjawab untuk menjaga anak dan sebagainya, sedangkan lelaki tidak menanggung beban sebanyak itu. Selain itu, Friedan juga tidak bersetuju dengan John Stuart Mill yang mengatakan, wanita sepatutnya memilih untuk bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Pada pandangan Friedan, hal itu sungguh tidak adil bagi wanita. (Sumber: Women in Feminism and politics; New Directions Towards Islamization)

Belajar daripada sejarah. Itu ungkapan yang acapkali dilafazkan akan tetapi sejauh mana kita melihat ia sebagai pengajaran yang harus diambil iktibar. Ya, sejarah itu adalah sejarah dari barat. Tetapi adakah kita sedar bahawa sejarah feminisme yang berlaku di Amerika Syarikat pada kurun ke 20 itu telah berlaku di negara kita hari ini, bahkan lebih buruk lagi? Pergerakan feminisme Malaysia yang hangat memperjuangkan feminisme hari ini adalah Sister In Islam (www.sisterinislam.org.my) yang cuba bertopengkan dengan menggunakan nama Islam tetapi dasar pemikiran mereka adalah acuan barat bukan Syariat. Sedarkah kita, Sister In Islam yang berjuang dengan membawa nama Islam tetapi pejuang-pejuangnya adalah wanita-wanita yang tidak mengamalkan amar maaruf nahi mungkar. Ayat-ayat al-Quran diputar-belitkan dengan menggunakan logik akal dan hukum Islam dijadikan bahan sendaan.



Baru-baru ini, berkenaan isu COMANGO (gabungan NGO-NGO) Sister In Islam telah menjadi salah sebuah NGO yang terlibat dalam menandatangani UPR oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkenaan dengan Hak Asasi Manusia yang perlu dituntut di dalam sesebuah negara. Apa yang menyedihkan antara tuntutan hak asasi itu adalah secara terang-terangan bertentangan dengan Islam seperti kebebasan murtad, menghalalkan seks songsang, membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada kristian dan banyak lagi. Apakah ini masih belum jelas dengan agenda yang sedang dibawa untuk merosakkan Islam?



Ini bukan suatu tuduhan. Bukan juga satu stereotaip yang melampau terhadap golongan ini, akan tetapi apa yang harus kita lakukan adalah cakna dan mengambil tahu serta memahami fahaman feminisme yang sedang menyerang pemikiran kita hari ini. Apakah cukup hanya tahu dan cakna? Sudah tentu tidak, tugas kita adalah dengan menyampaikannya kepada orang lain supaya penyebaran maklumat yang bercanggah dengan syariat Islam diketahui umum. Isu ummat wajib digembar-gemburkan kerana kita tidak mahu saudara kita yang terlepas pandang tentang isu ini terkontang-kanting di dalam arus kejahilan. Usah biarkan jiwa dan minda kita menjadi selari dengan pegangan mereka tetapi selarikan diri kita dengan perisai syariat supaya dapat menepis fahaman-fahaman seumpama ini.

Wallahu alam




Nurul Hajjar Binti Atan

Aktivis PEMBINA
Team Media PEMBINA UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting