Tuesday 21 January 2014

‘Kem Khalifah Muda’ Melahirkan Beliawanis Berjiwa Kental


HULU SELANGOR, 17 Jan – Bagi mengisi masa lapang pelajar UKM pada cuti semester ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UKM menganjurkan mukhayyam, khas kepada mahasiswi yang bertemakan ‘Kem Khalifah Muda (KEM)’, bertempat di Rasa, Hulu Selangor. Perkhemahan ini bertujuan membentuk ciri-ciri khalifah dalam jiwa peserta, di samping melahirkan muslimah yang berjiwa kental dalam mengharungi pelbagai cabaran.
 
Para peserta bertolak ke tempat program dengan menaiki KTM, bagi melatih mereka berdikari serta merancang perjalanan mengikut masa yang ditetapkan. Peserta juga diuji untuk berhadapan dengan masyarakat apabila mereka diberikan penanda buku untuk disampaikan kepada penumpang KTM.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini, bukan sahaja diisi dengan aktiviti yang berbentuk kerohanian mahupun menguji ketahanan fizikal serta jiwa, seperti aktiviti explorace dan sentuhan qalbu(muhasabah), malah turut mendedahkan para peserta kepada isu-isu semasa yang menjadi ancaman kepada umat Islam kini.

“Sepanjang program ini, saya memperoleh banyak manfaat, antaranya, dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman dalam isu semasa, seperti COMANGO dan isu Kalimah Allah.”

“Selain itu, program ini berjaya menambahkan keyakinan saya untuk berdakwah kepada masyarakat.”

Ujar seorang daripada peserta KEM, Norasyima Bt. Zaki. Selain itu, Ummu Sulaim yang juga peserta program, berpendapat bahawa pentingnya individu muslim dalam menyampaikan dakwah.

“Kem ini adalah satu inisiatif untuk menyedarkan seseorang itu akan peranannya sebagai individu muslim dalam menyebarkan dakwah.”

“Apa yang kita lihat sekarang, masyarakat mengehadkan kerja dakwah itu hanya kepada pendakwah dan mereka yang mengkhusus dalam bidang agama sahaja, sedangkan ini adalah peranan sebenar kepada setiap umat Islam.”


Antara aktiviti utama yang lain adalah, 5 rencah 5 rasa, Idola Khalifah, Ledakkan Potensi Dirimu (LDK), Tahajjud Cinta (Qiamullail), dan Duduk Membangun Iman, iaitu slot pengisian yang disampaikan oleh aktivis ISMA, Dr. Irfan. 



Wartawan PEMBINA UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting