Friday 18 April 2014

Ada Apa dengan Usrah ?


Pernah dengar perkataan usrah ? Kadang-kadang dengar ada yang sibuk mengajak usrah, ada yang sibuk buat tugasan usrah dan ada juga yang sibuk pergi ke usrah. Usrah berasal dari bahasa arab yang membawa maksud keluarga atau dalam kata lain untuk menunjukkan adanya hubungan atau ikatan persaudaraan sesame manusia. Dari segi harakah islamiyah, satu unit keluarga yang diikat oleh kesatuan aqidah (kesatuan iman), kesatuan pemikiran (fikrah), kesatuan kesedaran tentang persamaan sejarah dan nasib dan kesatuan cita-cita perjuangan untuk berkerjasama dan bantu-membantu memperkukuh jemaah islamiyah. Usrah juga merupakan salah satu daripada institusi tarbiyah.

Usrah membawa matlamat untuk mencapai seluruh tujuan keislaman yang mulia bagi kemaslahatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Pada pendapat penulis, usrah memerlukan komitmen dan kesungguhan kerana Inshallah sesungguhnya mereka yang mengikuti usrah ini mempunyai matlamat yang sama iaitu mendekatkan diri kepada Allah dan ingin mendapatkan keredhaanNya.

Sesiapa sahaja yang mengikuti usrah akan diperkenalkan dengan 3 rukun usrah. Al-Syahid Imam Hassan Al-Banna menjelaskan 3 rukun usrah tersebut iaitu :


1. Al-Ta’aruf ( Berkenalan ) : Berkenalan dan berkasih sayang dengan semangat cinta kepada Allah serta memahami pengertian hakikat ukhuwwah ( persaudaraan) sejati di antara satu sama lain.

2. Al-Tafahum ( Bersefahaman ) : Bersefahaman untuk berpegang kepada kebenaran ; iaitu amal makruf nahi mungkar. Setelah itu, menasihati antara satu sama lain.

3. Al-Takaful ( Berseimbangan ) : Dasar memelihara nasib sesama sendiri supaya jangan ada yang terbiar dan terlantar. Hendaklah sentiasa bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, dan menolong di antara satu sama lain.

Bagi mereka yang tidak pernah mengikuti usrah, anda perlu tahu bahawa usrah ini bukanlah majlis sehala dan kebiasaanya jangka masa usrah tidaklah terlalu panjang. Sudah menjadi lumrah sistem pendidikan di negara kita, pendidikan Islam tidak ditekankan di peringkat menengah. Malah, di peringkat universiti hanya mereka yang mengambil subjek agama sahaja yang akan belajar tentang agama. Jadi, apa salahnya kita mengorbankan sedikit masa kita dalam satu minggu untuk duduk sebentar dan mengingati Allah melalui usrah yang kita ikuti. Jika tidak dapat mengikuti usrah, pilihlah mana-mana majlis ilmu yang ada.

Suka untuk penulis tekankan di sini, jika seseorang itu mengikuti usrah bukanlah bermakna dia lebih baik dari orang lain tetapi sekurang-kurangnya ada yang mengingatkan dan adanya usaha kita untuk dekat dengan Dia. Sama juga seperti pakaian, tidak bermakna seseorang itu menutup aurat dia lebih baik dari orang lain, namun harus diingat menutup aurat adalah WAJIB dan sesungguhnya sebaik-baik pakaian adalah TAQWA.

Penulis ingin memohon maaf dan silap jika ada yang tidak selesa dengan penggunaan kata dan jika ada kesilapan minta ditegur. Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepada kita.

Nota kaki : PEMBINA juga ada menyediakan usrah kerana termasuk dalam Pakej Tarbiyah. Hubungi kami jika berminat !

NURUL FARHANAH BINTI AHMAD TERMIZI
Aktivis Pembina UKM Bangi


0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting