Thursday 10 April 2014

Kita Adalah Iron Man!


Saya percaya ramai yang meminati watak Iron Man terutama dalam movie The Avengers. Bahkan mungkin ada pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah yang menjadikan watak Iron Man atau Tony Stark ini sebagai idola mereka.

p/s: Siap beli poster dan mainan Iron Man lagi, walaupun umur sudah mencecah belasan tahun!

Namun, kebanyakan daripada kita tidak menyedari bahawa kita juga merupakan Iron Man.

HAH? IRON MAN??

Ya, kita adalah Iron Man. Tetapi ada syaratnya. Anda tidak percaya?

Kita lebih hebat dari Tony Stark sekiranya kita....


Rata-rata masyarakat, terutama pelajar yang mengambil subjek atau jurusan kimia mengetahui bahawa besi adalah logam yang sangat berguna untuk manusia. Contoh yang paling terdekat, emas atau dalam bahasa saintifiknya Aurum (Au). Emas adalah logam yang sangat bernilai, bahkan anti inflasi.

Selain itu, besi berani atau Magnet juga antara logam yang sangat unik, sehingga “diabadikan” dalam sebuah filem X-Men, iaitu watak Magneto yang mempunyai kuasa magnet. Bahkan senjata yang digunakan oleh tentera, ataupun pedang sekalipun dibuat daripada logam atau campuran logam.

TAHUKAH ANDA?

Allah telah mengiktiraf kelebihan logam di dalam al Quran, bahkan ada surah yang diberi khas nama logam, iaitu Surah al Hadid (Logam). Firman Allah dalam surah al Hadid,


Terjemahannya ;
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaanya mengandungi kekuatan yang handal serta pelbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya) ; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
(Surah al Hadid 57:25)

Begitu manfaatnya besi ini sehingga Rasulullah s.a.w. mengumpamakan manusia itu ibarat logam dalam sebuah hadis sohih:

Terjemahannya ;
Dari Abu Hurairah R.anhu meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bersabda ;


“Manusia seperti logam, terpilihnya (bergunanya) mereka semasa jahiliyyah, terpilih (berguna) juga semasa Islam, sekiranya mereka faham.”

(HR Bukhari)

Tergaru-garu kepala tidak faham?

Baiklah, saya ambil contoh Saidina Umar al-Khattab r.anhu. Saidina Umar ini masa zaman jahiliyyah, dia adalah orang yang sangat ternama dikalangan kafir Quraisy. Bahkan jika orang menyebut nama Umar untuk berlawan, akan ketakutan orang tersebut mendengar nama Umar.

Namun selepas dia memeluk Islam, adakah dia mundur? Adakah dia terpinggir?

Sudah pasti tidak! Bahkan dia memimpin umat Islam dalam berperang dan menjadi Amirul Mukminin yang kedua selepas Saidina Abu Bakar r.anhu. Sehinggakan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud,

“Sekiranya Umar melalui satu jalan, maka Syaitan akan melalui jalan yang lain (kerana tidak berani jalan di laluan Umar atau bertembung dengannya)

(Riwayat al Bukhari)

Dan ada lagi beberapa contoh para sahabat agung seperti Sumayyah, Khalid al Walid r.anhu, Saidina Hamzah r.anhu, dan zaman selepas itu seperti Salahuddin al Ayyubi, Sultan Muhammad al Fateh dan lain-lain. Mereka bukannya ahli fiqh, tetapi mereka faham apa tuntutan Islam.

Sumayyah r.anha tidak pernah solat 5 waktu sehari semalam, tidak pernah berzakat, namun dia dikurniakan syurga atas dasar dia mempertahankan iman dan keyakinannya kepada Allah. Kerana apa? Kerana dia faham tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim!

Seperti logam, sifat seseorang manusia (apatah lagi Muslim!) seharusnya mudah dibentuk atau ditempa. Jika elok acuan, maka elok jugalah produknya. Namun jika sumbing acuan, maka sumbing juga produknya.

Dengan erti kata lain, kita akan jadi lebih hebat dari Tony Stark sekiranya kita faham tujuan kita dihidupkan dan faham apa yang Islam tuntut dari kita sebagai individu Muslim khususnya!

Di mana "Islamic Iron Man" hari ini?


Sejarah telah membuktikan Islam telah melakar sejarah agung dengan tinta emas dalam diari peradaban dunia. Namun zaman itu telah berlalu. Kita sudah kehilangan “Iron Man-Iron Man” agung yang telah mewarnai sejarah ummat Islam dalam diari peradaban dunia.

Kini sudah tiada lagi Umar al Khattab,
Kini sudah tiada lagi Umar Abdul Aziz,
Kini sudah tiada lagi Salahuddin al Ayyubi,
Kini sudah tiada lagi Sultan Muhammad al Fateh,
Kini sudah tiada lagi Sultan Abdul Hamid II,
Kini sudah tiada lagi Hassan al Banna,

Kini sudah tiada lagi Iron Man penyelamat ummah. Ummah sedang menanti kemunculan Iron Man baru yang akan hadir demi membangunkan semula ketamadunan Islam yang telah dirobek diari agung Islam yang di tulis dengan tinta emas dari kaca mata manusia sejagat.

Maka, siapa yang sanggup menjadi Iron Man yang seterusnya? Adakah kita? Atau kita sekadar “audiens” dalam “panggung wayang” yang sekadar menyaksikan kehebatan Iron Man tersebut?

Saya mencabar diri saya dan anda semua!!
  
Moga Allah redha

Ahmad Shukery B. Azizan
Aktivis PEMBINA UKM

Dipetik dari blog penulis: http://biskotmayat.blogspot.com/2012/11/kita-adalah-iron-man.html 

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting