Tuesday 29 April 2014

Semangat, Jangan Pergi! #1 : Bangkit

Sungguh,
Berat yang aku rasakan kini. Tatkala beban mula menghempap tubuh, aku lemah, jatuh dan berpaling daripadaMu. Jauh...aku hilang arah. Walau hadirnya cahaya, aku buta. Tak nampak jalan yang mampu membawa ku keluar. Sesat. Saat ini, aku perlukan pendorong. 

"Allah akan menguji seseorang berdasarkan apa yang dia lemah, sehinggalah seseorang itu benar-benar bangkit dari kelemahannya."

Ya, sukar untuk kuat bila kita sendirian tetapi, sampai bila engkau mengharap ihsan manusia? Sampai bila engkau mahu bergantung kepada seorang insan yang bergelar manusia? Sampai bila?


Adakalanya Allah sengaja membiarkan kita sendiri. Ada perkara yang cuba disampaikan, ada hikmah yang Allah suruh kita renungi. Dia, al-Khaliq. Adalah menjadi haknya memberi dan menarik pemberianNya. Sesungguhnya, Dia mahu kita kembali padaNya.

Rasa berat? Tak mampu nak teruskan? Sedar tak, yang beri kau kesenangan, kelapangan, kesihatan dan pelbagai lagi nikmat tu siapa? Kenapa tidak menggunakan segala kesenangan itu pada jalan yang betul? Bila dah jatuh baru terngadah. Bila banyak sangat beban di belakang bahu, kau mengeluh. Mahu berundur dan jadi bebas, sebebas-bebasnya? 

Begitu mudahnya manusia mengeluh. Saat kesusahan, seribu, sejuta, billion, trillion nikmat yang Allah pernah bagi dulu, terus hilang dari ingatan. Mengenang nasib, meratap dan mengeluh. Betullah kata Allah dalam Al-Quran,

"...Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur." (As-Saba' 34:13)

Aku penat...tak tahan dah nak tanggung semua ni. Aku nak lepaskan semua. Cubalah faham. Sakit kau tahu tak? Amanah ni terlalu berat untuk aku.

Jalan ini bukanlah jalan main-main. Ya, ini bukan jalan yang penuh dengan plot cerita yang indah-indah. Di sini, kau akan diuji sejauh mana tahap kematanganmu. Benar, jalan ini bukan untuk orang yang manja. Namun, di sinilah kau berjaya menempuhi pelbagai halangan yang orang lain takkan rasa sehingga yang manja menjadi tabah.  

Ingat, kita adalah hamba yang dipilih Allah. Berbanggalah!

Ini adalah perniagaan yang menguntungkan. Bukan keuntungan materi, tapi keuntungan rohani. Itulah yang dapat menaikkan saham di akhirat kelak.

10. "Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? 
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. 
12. Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang agung.
13. Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin." 

(As-Saff 61: 10-13)

Aku dah cuba untuk kuat, untuk berubah. Tapi, sampailah sekarang aku tak jumpa kekuatan tu. Walaupun lama ditarbiyah, aku tak mampu jadi sehebat orang yang seangkatan denganku.

Dengarkan ini wahai sahabat…

Tarbiyah itu adalah satu proses untuk mengubah diri kita menjadi insan yang lebih baik. Kadangkala, proses itu memakan masa yang lama, menyakitkan dan juga memeritkan. Jika lemah yang kau rasakan kini adalah kerana proses itu, maka bertahanlah. Kerana engkau berada di landasan yang betul. Koreksi diri, lihat hubunganmu dengan Allah. Mungkin kesukaran yang kau rasakan ini adalah kerana kurangnya pergantunganmu kepada Allah.

Usah terkejar-kejarkan menjadi orang yang hebat. Kerana orang yang hebat itu juga lahir daripada kegagalan hidup. Proses bangkit dari kejatuhan itu memakan masa dan sudah pastinya pelbagai halangan ditempuhi. 

Sudah takdirNya, kita lahir untuk berusaha mendapatkan sesuatu dan menjadi sunnatullah setiap yang berlaku menjalani prosesnya yang tersendiri. Jika kita hendak makan, kita perlu berusaha mencari duit, kemudian membeli bahan mentah, memprosesnya menjadi makanan, kemudian baru boleh dijamah. Tiada yang ekspres dalam hidup. Jika semua laluan ditempuhi dengan mudah, mungkin tiada langsung hambaNya yang bersyukur. Maka, berusahalah mendaki tangga mencapai redha Ilahi, insyaAllah kita menjadi hebat di mataNya.

Ya Allah, pemilik hati. Sucikanlah hati ini agar mudah ku menerima kebaikan yang Kau datangkan. Terangkan mata hati ini agar dapat ku mengutip setiap yang berlaku sebagai hikmah dalam menelusuri jalan yang penuh berliku. Kuatkan dan tetapkanlah aku di jalan-Mu. Ini rintihan hambaMu, dengarkan dan perkenankanlah ya Allah...

p/s: Ini adalah koleksi nasihat-nasihat orang disekeliling. Terima kasih atas nasihat yang membina



Aktivis PEMBINA UKM




0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting