Friday 18 April 2014

Jihad Ilmu dan Pengijazahan

"Sesiapa yang inginkan dunia hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya hendaklah dia lebih berilmu.”

Jika dirujuk pada petikan di atas dan hadis nabi, maka akan terserlah banyak kelebihan dan ganjaran yang Allah sediakan bagi orang yang menuntut ilmu. Banyak hadis nabi yang membongkarkan fadhilat penuntut ilmu. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa tingginya kedudukan ilmu dan betapa pentingnya untuk menuntut ilmu. Antara fadhilatnya, Allah memudahkan jalan bagi penuntut ilmu untuk ke syurga, penuntut ilmu akan dipayungi oleh para malaikat, diangkat darjatnya lebih tinggi berbanding ahli ibadah yang jahil, penuntut ilmu dianggap sebagai pejuang Allah, semua penghuni langit dan bumi akan memohon keampunan buat orang yang sedang menuntut ilmu dan pelbagai lagi ganjaran yang Allah kurniakan. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan soal ilmu dalam setiap diri manusia.

Nabi pernah bersabda,

“ Sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah fardhu bagi setiap muslim.”
                
Ilmu yang bermanfaat ialah segala ilmu yang mendorong dan membimbing manusia untuk melakukan kebaikan serta mencegah daripada melakukan kejahatan. Ilmu yang tidak bermanfaat pula adalah ilmu yang tidak dapat membentuk penuntutnya menjadi seorang manusia yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama serta negara. Ilmu dunia yang terlalu luas ini memungkinkan manusia tersesat. Oleh kerana itu perlu diimbangi dengan ilmu agama untuk memilih mana yang benar, mana yang batil dan untuk mengetahui mana yang halal dan mana yang haram demi menyelamatkan diri dari lembah kebinasaan.


Jihad Ilmu


Apabila disebut jihad, ramai yang akan membayangkan mata pedang, peperangan, senjata dan pertumpahan darah. Ini sedikit sebanyak telah menyempitkan aspek jihad. Jihad merupakan satu syariat Islam, sedangkan syariat Islam itu adalah releven pada setiap masa.Tidak mungkin syariat Islam akan ketinggalan zaman. Maksud jihad dari sudut bahasa adalah bererti mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita sama ada yang mulia dan ideal ataupun tidak. . Manakala jihad ilmu bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk berkorban segala usaha dan tenaga demi meningkatkan ilmu pengetahuan yang dimiliki dan sentiasa berazam menjadikan menuntut ilmu itu sebagai amalan dalam kehidupan. 

Hilmy Bakar Al-Mascaty telah membahagikan jihad kepada 5 kategori iaitu Jihad Harta, Jihad Jiwa, Jihad Pendidikan, Jihad Politik dan Jihad Ilmu Pengetahuan. Jika dilihat pada zaman kemajuan sains dan teknologi sekarang ini, jihad ilmu pengetahuan hamper menyamai dengan kepentingan jihad di medan peperangan pada zaman lampau. Peperangan zaman moden tidak hanya menuntut penggunaan senjata sahaja tapi juga lebih mengutamakan pada ilmu pengetahuan dan teknologi sebagai senjata baru. Lihat saja pada zaman ini, negara yang menguasai teknologi mampu menguasai dunia seterusnya juga menguasai negara-negara yang lemah. Oleh itu, seharusnya kita semua sedar bahawa jihad mempunyai makna yang luas dan meliputi segenap aspek kehidupan manusia.

Merujuk kepada konteks jihad melalui ilmu ia mengajar pemiliknya kepada pengakuan tentang kedudukan yang tepat bagi Allah selaku pemilik dan pentadbir alam. Manakala kedudukan manusia ialah selaku hamba dan khalifahNya di muka bumi. Walaubagaimanapun, system pendidikan secular dari barat yang telah berjaya membenih masuk sekian lama dalam system pendidikan di Malaysia telah menghasilkan bunganya. Perhatikanlah hasilnya, dari pendidikan secular lahir ramai graduan Islam yang dapat melonjakkan produktiviti kepada masyarakat dan negara tetapi hilang adabnya kepada pencipta dan makhluk-makhluk lain. Inilah akibat apabila hanya pendidikan duniawi diutamakan, pendidikan ukhrawi diabaikan. 

Kepentingan jihad ilmu berlandaskan syariat Islam akan menjadikan penuntutnya seorang yang berguna kepada masyarakat sekeliling.  Konsep ilmu yang benar bukan sekadar diisi ke dalam akal fikiran tetapi juga dalam hati nurani manusia sehingga ilmu tersebut dapat dizahirkan dengan amalan praktikal melalui tingkah laku yang beradab dan berakhlak. Kalau dilihat pada zaman sekarang, pada setiap tahun akan lahirnya berpuluh-puluh ribu mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai instititusi pendidikan awam mahupun swasta di seluruh negara. Jika dilihat pula pada statistic jenayah negara, bilangan jenayah telah mengatasi bilangan mahasiswa yang bergraduasi. Amat sedih dengan ketidakseimbangan julat tersebut jika dibandingkan dengan jumlah penuntut ilmu. Ternyata ilmu yang dipelajari di peringkat kolej ataupun university masih belum cukup untuk mengelakkan atau mencegah berlakunya perkara mungkar. Atau mungkin juga kerana ilmu yang dimiliki oleh mahasiswa cetakan institusi pendidikan gagal membantu mereka untuk menyedarkan masyarakat dalam mengenal erti jenayah seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah negara.

Saidina Ali r.a pernah menukilkan katanya yang bermaksud,

Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjagakamu, manakala dengan harta, kamu pula yang menjaganya. Ilmu itu penghukum (hakim) manakala harta pula akan terhukum. Harta itu akan berkurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu akan bertambah apabila dibelanjakan.

Kesimpulan dari jihad ilmu pengetahuan yang perlu diketahui bagi setiap mahasiswa ialah telah menjadi satu kewajipan baginya untuk menuntut ilmu dalam bidang yang dipelajari sesungguh-sungguhnya walau dalam apa jua bidang sekali pun sama ada bidang sains, teknologi, perundangan, perubatan, pemakanan, sastera, sejarah, ekonomi, politik, agama dan bidang lain-lain kerana, secara tidak langsung dia telah menjadi wakil umat Islam untuk menguasai bidang tersebut. Menjadi satu kesalahan bagi dirinya seandai dia gagal untuk menghadiri kuliah atau menyiapkan tugasan disebabkan oleh disibukkan dengan sesuatu perkara yang bukan dalam  bidang sepatutnya dia pelajari.

Makna majlis pengijazahan.

Sifat ilmu itu seharusnya melahirkan seorang manusia yang mengikut resmi padi, apabila berisi semakin tunduk. Begitulah realitinya dengan mahasiswa sekarang apabila melangkah sahaja keluar dari menara gading selepas pengijazahan, membawa segulung sijil dengan megah tetapi langsung tidak mengetahui apakah falsafah yang terkandung dalam majlis pengijazahan atau turut dikenali sebagai konvokesyen.

Majlis pengijazahan adalah bermakna seorang mahasiswa itu telah berjaya menamatkan pengajiannya. Ia juga adalah symbol seorang guru mengiktiraf ilmu yang diajar kepada anak muridnya. Majlis pengijazahan sebenarnya adalah merupakan satu petanda yang amat penting bagi setiap orang yang menerima dan member ijazahtersebut. Bagi penerima ijazah atau anak murid, mereka sebenarnya telah dibebani satu tanggungjawab baru iaitu untuk menyampaikan ilmu yang selama ini telah berpuluh-puluh tahun dituntut semenjak dari zaman kecil tadika sehinggalah saat pengijazahan terakhir doctor falsafah. Mereka seharusnya menyumbangkan segala ilmu dengan berbakti semula kepada masyarakat dan menunjukkan sebagai seorang ahli ilmu dengan contoh akhlak yang soleh bertepatan dengan nilai ilmu itu sendiri.

Bagi penganugerah ijazah atau juga dikenali seorang guru pula haruslah berterusan mendidik anak muridnya dengan sebaik-baiknya kerana guru bertanggungjawab terhadap apa yang diajar oleh mereka dan apa yang akan diajar oleh anak murid kepada masyarakat. Berat sebenarnya tanggungjawab seorang guru. Malangnya konvokesyen sekarang sudah tidak difahami oleh setiap graduan. Mereka menganggap ia hanya sebagai satu majlis untuk bergembira sambil meraikan kejayaan mereka sebagai seorang mahasiswa yang sudah menamatkan sukatan pelajaran dan akan berakhir di situ sahaja. Padahal dunia ilmu itu adalah luas dan langsung tidak akan pernah habis sehinggalah kamu menghirup nafas terakhir dan yang paling penting adalah tanggungjawab selepas tamat pengijazahan untuk membayar semula jasa kepada masyarakat di samping tidak lupa pada pinjaman tabung pendidikan.



Amirul Hakimi
Presiden PEMBINA UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting