Friday, 21 October 2016
Sayonara Hijrah..Bangkit Sebelum Rebah!
UKM, 17 OKT – ‘Sayonara Hijrah,
Bangkit Sebelum Rebah!,’ begitulah tema yang dibawa pada Sambutan Hari Ahli
PEMBINA (HAP) kali ke-2 yang dijalankan seiring dengan sambutan Maal Hijrah.
Program yang telah berlangsung ini mengumpulkan seramai lebih 80 peserta yang
terdiri dari ahli PEMBINA UKM itu sendiri.
Majlis pada awalnya dimulakan dengan
tayangan video aktiviti yang telah dianjurkan oleh PEMBINA UKM sepanjang
semester lepas dan pada awal semester ini.
Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan presiden PEMBINA UKM , saudara
Wafiq Azman yang menerangkan mengenai
objektif HAP di mana beliau sedikit sebanyak menyentuh tentang sindrom ‘4K’.
“Perubahan itu tidak akan berlaku melainkan
kita sendiri yang menginginkannya,” begitulah sedikit ungkapan perasmi, Dr
Hazlin Hazrin Chong iaitu merupakan salah seorang pensyarah di UKM sendiri.
Selesai upacara perasmian, ceramah
mega dimulakan oleh Ustaz Syed Israa di mana dalam isi ceramah beliau mengajak
para mahasiswa untuk mengambil pengajaran daripada sejarah yang lalu bermula
dari zaman sahabat-sahabat Rasulullah lagi iaitu ketika mana ramai golongan
yang masih muda tetapi berjuang membawa agama Islam itu sendiri.
“Apa kata kalau kita tukarkan 4K itu
kepada 4M?,” begitulah seruan beliau dalam ceramah yang disampaikan di mana
beliau merujuk 4M itu kepada murabbi, mutarabbi, manhaj, dan muhib. Malah,
beliau juga berharap mahasiswa yang hadir kelmarin mampu memegang prinsip
masing-masing.
Program yang dijalankan ditutup
dengan tayangan video pengenalan majlis tertinggi dan ketua-ketua biro PEMBINA
UKM kemudian diikuti dengan cabutan bertuah dan sesi fotografi.
“Pengisian yang disampaikan sangat
menarik dan pada saya PEMBINA ini bukan sekadar gah pada namanya sahaja tetapi
program yang dianjurkan ini turut membina semangat saya untuk terus bangkit dan
maju,” kata salah seorang peserta yang pertama kali mengikuti program yang
dianjurkan PEMBINA ini.
Disediakan oleh,
Siti Nur Fatin bt Azni
Media PEMBINA UKM
Saturday, 15 October 2016
ARTIKEL I PEMUDA ITU WARGA EMAS
Kita sering kali mendengar perkataan
warga emas dalam bualan masyarakat. Warga emas yang dimaksudkan ialah warga
tua. Betul tak ? Tapi pada saya maksudnya lain.
Nak tahu apa tak apa yang saya
maksudkan ? Kalau nak tahu, ayuh ikut
bersama-sama saya melayari bahtera warga emas ini.
Baiklah, warga emas yang maksudkan di sini ialah orang
muda.
Warga Emas orang muda ? Biar betul !
Betul lah.
Usia emas ialah usia muda. Kenapa
saya berkata begitu ? Ini kerana apa yang
dimiliki oleh seorang pemuda itu, tidak
ada pada golongan atau warga lain.
Ada empat perihal yang diperkatakan
oleh Hassan Al-Banna berkenaan ciri pemuda yang tidak apa pada orang lain. Empat ciri tersebut ialah keimanan, keikhlasan,
semangat dan usaha.
Malah, terdapat satu potongan hadis Nabi S.A.W
berkenaan rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Salah satunya ialah ‘Muda
sebelum Tua.’ Kenapa muda sebelum tua juga diperkatakan sedangkan perkara hidup
sebelum mati sudah cukup menyimpulkan keseluruhan kehidupan manusia? Ini kerana
pentingnya memanfaatkan usia muda.
Dalam era modenisasi ini, kita lihat
bagaimana pemuda kita memanfaatkan masa dalam kehidupannya? Adakah berada pada
tahap yang baik atau sebaliknya? Saya
berpandangan keadaan pemuda pada hari ini semakin menuju ke arah yang buruk
kerana banyak gejala sosial yang berleluasa,
budaya ‘couple’, dan budaya
hiburan yang melampau.
Pernah suatu ketika, ditanyakan
kepada seorang pemuda berkenaan lafaz syahadah,
pertanyaan tersebut dibalas dengan jawapan ‘tidak tahu’. Apabila ditanyakan
pula soal rukun iman, juga ‘tidak tahu’.
Ini baru seorang, bagaimana pemuda yang lain? Adakah mereka sama atau lebih baik
atau lebih menyedihkan lagi.
Suatu kata-kata yang sehingga hari
ini terpahat di fikiran saya ialah ‘untuk melihat generasi akan datang, maka
lihatlah generasi hari ini’. Bagaimanakah keadaan generasi hari ini?
Usia muda seharusnya diisikan dengan
hal-hal atau amal-amal kebaikan yang banyak. Bukannya dipenuhi dengan perkara
mungkar. Makanya, beruntunglah orang
yang usia mudanya lagi dipilih oleh Allah untuk menempatkan dirinya dalam
kehidupan dakwah dan tarbiyyah iaitu dikelilingi oleh biah solehah.
Bila mana kita berada dalam
persekitaran tarbiyyah yang betul, ianya
akan membentuk kepercayaan dan tindakan kita terhadap Islam yang sebenar.
Contohnya kisah Ashabul Kahfi, golongan muda yang lari bersembunyi dari
kekejaman pemerintah pada waktu itu, demi menyelamatkan akidah mereka.
Dari kisah itu, Allah menurunkan
dalam surah Al-Kahfi ayat 13, yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu
(wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu
orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka
dengan hidayah petunjuk."
Bukan sekadar kisah Ashabul Kahfi
tetapi Allah juga telah membawakan kepada kita kisah-kisah para rasul dan nabi
yang pada usia mudanya sudah diterima amanah, dugaan dan segala macam kepayahan
hidup. Akan tetapi kehebatan mereka menjangkaui realiti masyarakat pada ketika
itu.
Contohnya kisah Nabi Ibrahim yang
berselisih faham dengan ayahnya sendiri dalam soal ketuhanan sehinggakan beliau
disisih oleh ayahnya. Nabi Yusuf turut mendapat cubaan yang hebat iaitu
disisihkan oleh adik-beradiknya, dijadikan hamba, difitnah oleh wanita dan juga
dimasukkan dalam penjara. Apatah lagi nabi kita iaitu Nabi Muhammad yang sejak
dari kecilnya telah banyak dugaan yang dihadapi. Walau bagaimanapun tanda kasih
dan sayang Allah, Allah telah memberikan wahyu, mukjizat dan kelebihan kepada
rasul-rasul dan nabi-nabiNya.
Wahai warga emas, wahai pemuda! Adakah
kamu ingin dihanyuti nikmat duniawi
semata-mata?
Masihkah lagi kamu ingin menempah ke lembah binasa? Masihkah lagi
kamu ingin mengikuti jalan yang sesat selamanya?
Bangunlah! Jangan biarkan dirimu dibayangi
mimpi. Jangan biarkan masa emasmu ini tenggelam dalam sepi. Teruskan perjalanan
membina kekuatan diri dan mencari identiti dirimu yang sebenar.
Siapa lagi
kalau bukan dirimu? Kamu lah pemudah yang bakal mewarisi pemerintahan dunia
kerana pemuda hari ini adalah cerminan kepimpinan akan datang.
Muhammad Firdaus Hamdan,
Timbalan Presiden PEMBINA UKM.
Timbalan Presiden PEMBINA UKM.
Sunday, 25 September 2016
CERPEN I HIDAYAH ITU MILIK ALLAH
Dalam
mencari keredhaan manusia, perlu mencari keredhaan-Nya dahulu. Itulah ayat yang
disemat di dalam lubuk hati Putri. Sebak dan sendu terasa hatinya bila dapat
meluahkan segalanya kepada yang Maha Mengetahui.
Hidupnya
dahulu sentiasa dikelilingi orang yang tidak pernah melihat agama sebagai
sesuatu yang tiada ukurannya jika dibandingkan dengn harta benda. Pernah suatu ketika,
ibu dan bapanya pulang ke rumah dengan keadaan yang tidak waras akal fikirannya
disebabkan oleh minuman yang telah jelas haram di dalam Al-Quran. Melihat yang
demikian dia lantas terus memeluk erat kedua ibu bapanya sambil berdoa
kepada-Nya supaya mereka meninggalkan perbuatan yang dilaknat itu. Walaupun dia
jahil tentang identitinya sebagai seorang muslim, dia masih lagi boleh berfikir
baik dan buruk sesuatu perkara.
Bagaikan
tersedar dari lena yang panjang sambil dibuai dengan alunan muzik, ketika itulah
dia telah dikejutkan dengan suatu perasaan aneh yang tidak dapat digambarkan. Perasaannya,
di mana dia menginginkan belajar tentang agama yang dia tidak pernah ambil
peduli sebelum ini. Akan tetapi, dia masih terasa kosong tanpa kehadiran
keluarga di sisi dalam perjalanan menuju Ilahi.
Ibu
bapanya masih seperti dahulu dan tidak dapat menerima perubahan puteri tunggal
mereka itu. Sudah berbuih mulutnya berusaha
menasihati kedua ibu bapanya, namun perkara yang sama kerap berulang. Putri
telah redha akan ketentuan ini, namun dia tidak pernah mengalah untuk memohon
hidayah kepada-Nya.
Sehingga,
suatu hari, kedengaran sayup suara kedua ibu bapanya mengalunkan bait-bait
daripada Al-Quran yang diajar oleh seorang ustaz. Terduduk tanpa kata dia
dibalik pintu yang dikuak sedikit itu. Kini, mereka telah bersama-sama berada
dalam jalan perjuangan agama yang penuh panca roba ini tanpa menoleh kebelakang
walaupun seringkali diungkit kisah silam mereka, dimaki dan dicaci.
Tidakkah
kita ingin hidup seperti keluarga Putri masa kini? Ramai yang berkata, “aku tak
kuat”, “aku tak mampu”, “kau boleh la keluarga kau baik-baik”. Jangan! Jangan
sama sekali berputus asa sebelum mencuba. Bukankah kita telah diajar untuk
tidak putus asa? Sejak bayi, kita telah jatuh berkali-kali, namun kita cuba
bangkit walaupun dalam keadaan menangis.
Betapa
cekalnya kita dahulu, adakah kita mahu kalah dengan bayi yang masih tidak tahu
apa-apa? Jangan disebabkan ego diri kita sendiri membuatkan kita sombong kepada
Tuhan kita. Jangan patah semangat, cuba lihat kembali. Adakah kita terpelihara dari segala ujian sebelum ini?
Jangan
pernah mengatakan “engkau tak rasa apa yang aku rasa”, ya! Ini kerana dia telah
merasakan sesuatu ujian yang lebih hebat daripada dirimu wahai saudaraku. Di sini
rumus mudahnya,
Ujian
dari Allah = Iman
Apa maksudnya?
Jika bertambah ujian, maka makin tinggi keimanan seseorang. Ini kerana Allah
ingin melihat apakah benar kita ini seorang hamba yang taat ataupun hanyalah
sekadar ingin mendapatkan sesuatu. Jangan risau, Allah tak akan membebani
hamba-Nya dengan ujian yang tidak tertanggung. Jadi sabarlah walaupun seberat
manapun ujian hidup kita. Jika kita merasakan hidup ini berat, fikirkanlah
bagaimana umat zaman dahulu yang lagi berat ujiannya.
Nur Nadirah Binti Yohyi
Biro Rekreasi PEMBINA UKM.
Biro Rekreasi PEMBINA UKM.
Thursday, 15 September 2016
CERPEN I APLIKASI PENGORBANAN
Dalam sekelip mata, keadaan telah menjadi riuh-rendah. Beberapa orang pemuda yang berbadan sasa berusaha sebaik mungkin mendapatkan apa yang ingin dihajati. Keadaan yang sepatutnya berjalan lancar telah melewati masa bagi menyelesaikan perkara yang telah terjadi tanpa diduga. Debu tanah kering yang mula naik ke kepala telah menyebabkan orang ramai mula berpecah mencari tempat yang selesa.
“Atuk, bagaimana? terasa sakit?” Tanya Rozmi yang mula mendapatkan datuknya yang sedang menepuk-nepuk belakang orang tua itu yang sedikit kotor selepas tubuhnya terbaring ke tanah disebabkan oleh satu daya tolakan yang kuat. Mujur sebilah parang tajam yang terlepas dari genggaman Tok Mat tidak terpelanting mengenai orang ramai.
“Alhamdulillah, aku tiada apa-apa. Memang liat benar binatang ni nak dikerjakan.” Ujar Tok Mat sambil menghela nafas. Tok Mat mencapai parangnya dan terus melabuhkan punggungnya di sebuah pangkin yang berhampiran. Sebaik sahaja terlihat datuknya sedang duduk, seorang kanak-kanak yang memakai baju bergambar “Super Man” mula merapati datuknya dengan mempunyai tujuannya yang tersendiri.
“Atuk, kenapa semua orang nak ganggu lembu itu? Lembu tu bukannya kacau orang. Kalau dia tidak kacau kita, kenapa kita nak kacau dia?” Tanya Safwan seolah-olah berasa tidak puas hati akan apa yang sedang dilakukan oleh orang-orang kampung. Belum sempat Tok Mat membuka mulut, Rozmi yang berada di sisi Tok Mat itu mula mengusik adiknya.
“Kamu selalu leka di dalam kelas semasa cikgu sedang mengajar. Sekarang sudah tidak tahu apa itu korban dan mula menuduh yang bukan-bukan. Alamatnya, memang jadi super hero nak selamatkan lembu!” Rozmi gelak sendirian.
“Janganlah! Adik tak kacau abang pun.” Marah Safwan lalu menepis tangan abangnya yang mengusut-gusut rambutnya yang pendek itu. Safwan sedar, tingginya yang hanya mencecah paras pinggang abangnya itu pasti tidak akan mampu dilawannya. Dia hanya mampu mengelak apabila Rozmi ingin menyakatnya.
“Sudah-sudahlah. Baik-baik lembu yang nak dikorbankan, kamu berdua pula yang terkorban nanti. Tak baik bergaduh. Pergaduhan hanya akan mendatangkan mudarat pada diri kamu.” Tegur Tok Mat.
Kedua-dua cucu Tok Mat itu terdiam seketika dan memohon maaf atas keterlanjuran yang dilakukan di hadapan datuknya. Pastinya mereka takut apabila datuknya itu mula naik darah.
“Rozmi, kamu tahu kenapa kita perlu membuat korban?” Tanya Tok Mat.
“Cikgu ada beritahu semasa dalam kelas bahawa korban ini pada mulanya berlaku semasa zaman Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya itu melalui mimpi Nabi Ibrahim. Perintah Allah terhadap baginda sangat berat untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, Nabi Ismail sendiri meyakinkan bapanya supaya menjalankan perintah Allah tersebut. Atas keikhlasan dan kesetiaan dalam menjalankan perintahNya, Allah S.W.T. telah menggantikan Nabi Ismail dengan haiwan ternakan sebagai korban. Betul tak, atuk?”
“Betul, pandai cucu atuk. Kalau kita tahu sahaja tapi tak aplikasikan dan dalam kehidupan diri kita, tidak bergunalah ilmu yang kita peroleh macam pepatah Arab ada kata ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.” Kata Tok Mat sambil menghadapkan wajahnya ke arah kedua-dua orang cucunya itu.
“Aplikasi yang ada dalam handphone tu?” Tanya Safwan sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
Rozmi dan Tok Mat tergelak seketika. Manakala Safwan pula hairan apabila mendapat tindak balas yang sedemikian di atas soalan yang dilontarkan.
“Maksud aplikasi yang atuk katakan tadi adalah perbuatan dan amalan yang kita lakukan dalam kehidupan harian kita sama ada kerap kali atau jarang ataupun makna lain sebagai satu pengorbanan.” Rozmi membetulkan kefahaman adiknya.
Safwan hanya tersenyum sinis. Dirinya yang baru sahaja setahun jagung dan mula memasuki alam persekolahan perlu banyak yang dia pelajari dan ketahui.
“Berkorban itu tidak semestinya kita membeli seekor lembu atau haiwan ternakan lain lalu kita sembelih tetapi berkorban itu meliputi segala hal, sedangkan kalau kita nak minum air pun ada situasinya dianggap korban.” Terang Tok Mat sambil mengusap janggutnya yang sudah berwarna putih.
“Eh, minum air pon dikira berkorban?” Tanya Rozmi dengan reaksi muka yang ingin tahu.
“Ada satu kisah ketika mana tentera Muslim sedang berperang. Apabila keadaan telah menjadi sedikit tenang, ada seorang Muslim ini ingin meminum air yang dibawanya. Belum sempat diminum air tersebut, tiba-tiba dia terdengar satu suara meminta air. Maka dia terus ke arah suara itu dan dijumpai seorang tentera yang berada dalam keadaan tenat. Belum sempat tentera yang berada dalam keadaan tenat itu tadi minum, terdengar pula satu suara lain meminta air. Maka tentera ini tadi menyuruh pemilik air itu untuk memberi air tersebut kepada pemilik suara yang mereka dengar tadi. Apabila sampai sahaja ke arah tentera yang kedua ini, belum sempat diberi minum, terdengar pula satu suara lain yang meminta air. Hal yang sama turut berlaku dalam keadaan tersebut. Sehinggalah apabila pemilik air ini datang kepada pemilik suara berkenaan, didapati pemilik suara itu sudah syahid. Maka beliau berpatah balik sehinggalah kepada orang yang mula-mula dijumpainya meminta air dan kesemuanya syahid.”
Rozmi dan Safwan seolah-olah sudah dipukau oleh Tok Mat apabila mendengarkan kisah yang diceritakan kepada mereka.
“Oh, begitu rupanya. Bagaimana pula kalau Safwan pergi belajar di sekolah, perkara itu dianggap berkorban juga?” Tanya Safwan sambil memandang tepat ke arah wajah yang sudah mula berkedut.
“Benar, wahai cucuku. Kamu dianggap berkorban masa dan jiwa. Ibu bapa kamu yang bekerja mencari nafkah, lagi besar pengorbanan mereka. Mereka mencari rezeki untuk membesarkan kamu, memberi kamu makan, membelikan kamu pakaian dan memberikan yang terbaik untuk kamu berdua. Jadi sebagai seorang anak kamu berdua wajib menghormati ibu bapa kamu dan berbuat baik terhadapnya.” Jelas Tok Mat yang cuba memberikan kefahaman kepada kedua-dua cucunya itu.
“Jika kamu ingin mengaplikasikan pengorbanan dalam hidup kamu, kamu hendaklah mempunyai sikap terbuka, ikhlas dan yang paling penting adalah tidak bersikap pentingkan diri dan bangga diri. Istiqamah dalam amalan adalah merupakan kunci kejayaan yang terbesar dalam aplikasi pengorbanan buat diri kamu.” Tambah Tok Mat.
Rozmi tunduk seketika, dia sedar bahawa adiknya adalah amanah yang dititpkan dari kedua orang tuanya. Dia sepatutnya banyak memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada Safwan bukannya cuba mentertawakan dan memperlekehkan adiknya itu. Manakala Safwan pula yang mula merindui ibu bapanya, merasakan satu anugerah yang terindah jika dia dapat berbuat baik dan berbakti kepadanya.
“Insya-Allah, selepas ini Rozmi akan membimbing Safwan dan mengajar perkara yang baik. Rozmi dan adik akan berusaha berbuat baik kepada ibu dan ayah.”
“Jika kamu benar-benar faham dan dapat aplikasikan istilah pengorbanan dalam diri kamu, insya-Allah, Allah akan sentiasa tolong dan merahmati kamu.” Jelas Tok Mat sambil mengukir senyuman.
“Tok Mat, kita dah dapat tangkap lembu yang lari tadi. Sekarang ni semuanya sudah diikat dan dipegang dengan kuat, hanya tinggal disembelih lembu itu.” Kata seorang pemuda yang datang ke arah Tok Mat dengan berpakaian agak buruk sebagai persiapan menyembelih dan seterusnya melapah binatang korban tersebut.
“Jom!” Sahut Safwan yang lebih bersemangat seolah-olah dia pula yang ingin menyembelih haiwan tersebut.
Tok Mat mencapai parangnya dan tersenyum melihat gelagat cucunya itu.
TAMAT~
Yusre Zulhamize Bin Zainuddin
Biro Tarbiyyah PEMBINA UKM
Tuesday, 17 May 2016
KUALITI GAMBAR SEBAGAI WARTA MENCAKNA UMMAH
![]() |
UKM, 14 MEI – Keindahan Ciptaan Tuhan, begitulah tema bagi
program Media Circle Slot Fotografi yang berlangsung di Bilik Seminar,
Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM kelmarin. Program anjuran Biro Media PEMBINA
UKM ini dihadiri seramai 12 orang peserta yang terdiri dari pelajar UKM dan
juga seorang peserta dari UiTM Shah Alam.
Program yang diadakan ini
mempunyai tiga slot yang mana slot pertama merupakan slot pengisian yang
disampaikan oleh saudara Wafiq Azman selaku Presiden PEMBINA UKM. Dalam slot
pengisian ini, beliau sangat menekankan kepada tema yang dibawa program ini
iaitu Keindahan Ciptaan Tuhan.
Beliau berkata, kemahiran dalam bidang
fotografi ini merupakan satu medium yang penting bagi kita menghasilkan gambar
yang menzahirkan keindahan alam ciptaan Tuhan. Jadi, disebabkan itu sangat
penting teknik dan kemahiran dalam fotografi supaya melalui gambar tersebut maka
akan timbulnya rasa kesyukuran dengan keindahan ciptaan Tuhan.
Slot yang kedua adalah slot
fotografi yang disampaikan oleh saudara Najmuddin yang merupakan mantan Ketua
Biro Media PEMBINA UKM sesi 2014/2015. Dalam slot ini, para peserta banyak
didedahkan dengan segala kemahiran yang perlu ada bagi menjadi seorang jurugambar yang
terlatih.
“Kalaulah jurugambar di Syria itu tidak pandai
mengambil posisi gambar yang betul mana mungkin ada rasa simpati bagi orang
yang melihatnya,” ujar saudara Najmuddin dalam slot fotografi berkenaan
kepentingan posisi dan komposisi yang disampaikan.
Program ini kemudiannya disambung
dengan slot praktikal di mana para peserta diberikan tugasan mengambil
gambar-gambar yang memaparkan keindahan ciptaan Tuhan. Jelas dalam slot ini, para
peserta kelihatan teruja menjalankan tugasan yang diberikan.
“Saya rasa ini adalah satu
program yang sangat menarik di samping kita menambah ilmu pengetahuan dalam
bidang fotografi, kita juga sedar bahawa sangat pentingnya gambar yang
berkualiti itu sebagai medium menyampaikan maklumat.”, ujar salah seorang peserta yang hadir iaitu saudari
Nur Haazimah, pelajar dari jurusan undang-undang UKM.
Program berakhir dengan sesi
‘review’ dan kemudian sesi penyampaian cenderamata kepada pengisi.
![]() |
Sesi penyampaian
cenderamata kepada pengisi
|
Nordiana Mat Salleh
Wartawan PEMBINA UKM.
Wartawan PEMBINA UKM.
Monday, 25 April 2016
SYAHADAH TERAKHIR TANGGUNGJAWAB KITA
Kajang, 23 April - “Tanggungjawab kita sebagai seorang muslim adalah untuk mengajar syahadah kepada orang yang hampir kepada kematian,”ujar Puan Asral Widad,40 sewaktu berucap kepada mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sewaktu lawatan mereka ke rumah jagaan warga tua Darul Insyirah.
![]() |
| Puan Asral Widad (kiri) bersama Sumayyah (kanan) sebagai wakil peserta program Kasih D'Insyirah menghulurkan sumbangan |
Lambakan warga tua muslim yang dihantar ke rumah jagaan
warga tua non-muslim menyuntik semangatnya untuk menubuhkan rumah jagaan warga
tua muslim yang bersih,sihat sistematik dan mampu berdikari bagi menjaga
kebajikan warga tua muslim yang kian dipinggir semakin hari.
Beliau berucap di dalam program Kasih D’Insyirah anjuran
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia yang
berlangsung di Darul Insyirah 2, Sungai Ramal Dalam, Kajang yang dihadiri 17
peserta mahasiswa dari pelabagi fakulti.
“Selain Darul Insyirah, kami juga menubuhkan program
pendidikan seperti kelas hafazan dan tuisyen untuk anak yatim di bawah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Umah
(PACU),” kata Puan Asral Widad yang menjadi Pengerusi bagi kedua-dua agensi
PACU dan Darul Insyirah.
“Kami di PACU menawarkan
kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan sumbangan dari segi idea,
tenaga dan wang ringgit untuk sama-sama menjaga kebajikan masyarakat seperti
golongan anak yatim dan warga tua,”tambahnya lagi.
Najmuddin M. Faudzir
Wartawan PEMBINA UKM
MAHASISWA BELAJAR MENYELAMI HATI WARGA EMAS
![]() |
Kajang, 23 April-Sebuah program bakti kemasyarakatan bernama
‘Kasih D’Insyirah’ anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung di rumah kebajikan warga
emas Darul Insyirah bertempat di Sungai Ramal Dalam, Kajang.
Program
ini bertujuan menggerakkan aktivisme mahasiswa untuk kembali berkhidmat kepada
masyarakat warga emas secara khususnya selari dengan hasrat asal penubuhan UKM
iaitu dari masyarakat kepada masyarakat.
“Program bakti ini sangat
menepati hasrat saya yang ingin berdakwah kepada masyarakat pelbagai lapisan
sesuai dengan jurusan saya dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan,” ujar Suhail
Sukri, 22 sebagai salah seorang peserta program yang hadir.
“Kami
mengalu-alukan sebarang idea bagi
menggalakkan mahasiswa agar beraktivisme secara sihat disamping menambah nilai
jati diri dalam hidup mahasiswa,” kata pengarah program Rais Borhan, 22 sewaktu
ditemubual.
“Kami
berharap agar program ini dijadikan program jangka masa panjang dan berimpak
tinggi bukan sahaja kepada Darul Insyirah malah kepada peserta jua,” tambahnya
lagi.
Program
yang membabitkan 17 mahasiswa dari pelbagai fakulti termasuk Fakulti Pengajian
Islam, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan
Fakulti Sains dan Teknologi ini memberi impak positif kepada para peserta
mengenai kesedaran sosial kebajikan warga tua di Malaysia terutama masyarakat
islam.
Wartawan PEMBINA UKM,
Najmuddin M. Faudzir
Najmuddin M. Faudzir
Tuesday, 15 December 2015
Ahli PEMBINA UKM antara peserta perbincangan meja bulat TPPA
Bangi, 15 Dis – Tiga wakil Persatuan Belia Islam
Nasional (PEMBINA) dari PEMBINA UKM telah menghadiri diskusi PFAA Roundtable
Series : The Youth Perspective on TPPA anjuran Perdana Fellows Alumni
Asscociation (PFAA) di Kuala Lumpur dua hari lepas.
Diskusi yang berkonsepkan perbincangan
meja bulat telah dihadiri oleh belia-belia yang mewakili persatuan-persatuan belia
di seluruh Malaysia. Antara persatuan yang terlibat dalam diskusi tersebut
ialah Parlimen Belia, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, DAP Youth, MIC
Youth, Pemuda Amanah Negara dan Pemuda IKRAM.
Menurut Ketua Perunding Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) Datuk J. Jayasiri, dalam ucapan alu-aluan, beliau
menyambut baik usaha PFAA dalam membawa suara belia yang cakna di dalam
rundingan TPPA.
Objektif perbincangan meja bulat ini adalah
untuk penerangan yang lebih terperinci rundingan TPPA dan pandangan oleh para
belia tentang rundingan yang sedang dilakukan oleh pihak kerajaan.
Program diskusi ini juga turut dihadiri
oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mustapa
Mohamed. “Terima kasih dan tahniah kepada para belia yang mewakili persatuan
masing-masing, kecaknaan anda semua akan dipertimbangkan oleh pihak perunding
kerajaan,” katanya dalam ucapan penutup yang santai.
Ahli PEMBINA UKM yang terlibat sebagai
delegasi ialah Siti Aisyah Sulaiman, Penolong Ketua Biro Kepimpinan dan peserta
Siti Nur Amirah Mohd Asri, Setiausaha dan Nur Arina Mohd Azmi, Penolong Ketua
Biro Media.
Wartawan
PEMBINA UKM,
Nur
Sabihah Nawi.
Sunday, 3 May 2015
Tautan Ukhuwwah
Ukhuwah itu adalah terbentuk atas dasar ikatan akidah dan
akan beputik menjadi indah.
indahnya berukhuwah bila antara hati bertaut kerana akidah
yang bisa membawa ke jannah.
Indahnya berukhwah seumpama rindukan kekasih ketika
berjauhan,rindukan kata nasihatnya dan saling memberi peringatan.
Indahnya berukhwah ketika mana bersama-sama merasa pahit
manis dalam amanah dakwah yang digalas dan saling melengkapi dalam mecari redha
Ilahi.
Indahnya berukhuwah ketika mana salah seorang saudara
ditimpa ujian saudaranya yang lain datang dengan ketenangan.
Indahnya ukhuwah ketika sakit,mereka ziarah dengan doa-doa
kesejahteraan dan kata-kata yang baik,membuatkan kehadiran mereka sebagai
semangat dan penyembuh.
Indahnya berukhuwah ketika mana saudara seislam sanggup
bemusafir semata-mata untuk bermuayashah mengenali antara satu sama lain dan
berkongsi kehidupan masing-masing
Itulah ukhuwah yang sebenar. Ukhuwah menjadi indah dengan
ikatan akidah yang sbenar dan bertambah sweet bila ianya kekal hingga ke syurga.
Hasil nukilan
Siti Nor Izzati Nasrom,
Beliawanis PEMBINA UKM.
Hasil nukilan
Siti Nor Izzati Nasrom,
Beliawanis PEMBINA UKM.
Tuesday, 28 April 2015
CERPEN | Tarbiyyah Ini Mengajar Aku
Aku berjalan pantas menuju ke kelas.
Meskipun masih lambat lagi kelas akan bermula, aku lebih suka untuk datang awal
ke kelas. Sudah seminggu semester baru dibuka. Sudah dua tahun juga aku
menuntut di salah sebuah universiti terkemuka negara. Alhamdulillah, sejak aku
berada di sini, aku sangat seronok berada di sini. Kedengaran burung-burung
menyanyi riang sambil mencari makanan. ‘Burung pun bangun awal’, bisikku di
dalam hati.
“Assalamualaikum Nisa”. Rakan
sekuliahku menegur. Aku menjawab perlahan. Memberi senyum padanya. “ Nisa, awak
busy tak hujung minggu ni?” Kami sudah sampai di kelas. Suasana masih sunyi.
Tidak ramai lagi yang hadir. Aku membuka planner. Melihat-lihat aktiviti hujung
minggu yang mungkin telah aku catat. “ Maaf la Shahida. Nisa ada program la
sabtu ahad ni. Kenapa?” Aku menunggu reaksi Shahida. “ Ish awak ni Nisa.
Sibuknya. Mengalahkan Perdana Menteri. Baru nak ajak awak pergi Mid Valley.”
Aku tersenyum nipis. “ Maaf la Shahida. Nisa ada program. Program tu wajib
hadir.” “ Em, ye la Nisa. Awak memang macam tu. Kalau ajak pergi mana-mana pun
bukannya nak ikut. Awak ni asyik sibuk dengan program je. Tapi saya pelik la
dengan awak ni, walaupun awak sibuk dengan program tapi awak still dapat result
yang gempak.” Shahida ketawa. Tidak sedar rakan-rakan sekelas sudah memenuhi
dewan kuliah.
Aku masih lagi tersenyum. Tidak
kisah dengan apa tanggapan orang lain. Pada aku, dunia aku berbeza dengan
mereka. Sejak aku masuk tarbiyyah, aku mulai berubah. Aku sudah tidak seperti
dulu lagi. Kalendar mingguanku penuh dengan program-program tarbiyyah. Mabit,
mukhayyam, daurah dan mesyuarat organisasi mengisi hari-hari aku di sini selain
kuliah dan kajian penyelidikan. Aku bahagia begini. Bahagia di samping
sahabat-sahabat yang sama-sama bekerja untuk dakwah. Entahlah. Aku juga tidak
tahu bagaimana aku boleh terjebak dengan dunia dakwah dan tarbiyyah ini.
Tapi yang aku pasti, Allah lah yang
menggerakkan hatiku untuk berada dalam jalan ini.
Kelas berjalan seperti biasa.
Sesekali kedengaran gelak ketawa rakan-rakan sekelas. Usik-mengusik antara
mereka yang kadangkala memeningkan kepala pensyarah yang mengajar. Selesai
sahaja kelas, aku terus menuju ke surau. Dhuha masih belum terlambat untuk
dilaksanakan. Tenang rasanya bila air wudhuk membasahi wajahku. Sesungguhnya
aku percaya, terbukanya pintu rezeki ada pada Dhuha. Aku membelek-belek
plannerku. Pukul 2 petang nanti, aku harus berjumpa Dr. Zaimah untuk bertanya
tentang topik yang aku tidak faham.
Perpustakaan Tun Sri Lanang sudah
menjadi rumahku yang kedua. Banyak masa yang aku habiskan di sini. Mencari
maklumat dan buku-buku yang boleh digunakan sebagai rujukan. Aku suka ke
perpustakaan. Sunyi. Tidak ada sesiapa yang menggangu. Aku seolah-olah dalam
duniaku sendiri. Dari dulu lagi aku suka pada buku. Selalu aku dengar kata-kata
orang, semakin kita banyak membaca, semakin kita terasa bodoh. Ya, ilmu Allah
itu luas. Walau apa pun bidang yang kita belajar, jadikan itu sebagai asas
untuk kita berdakwah.
Malam ini aku tiada mesyuarat. Kelas
malam juga tidak ada. Aku mendail nombor ibuku. Agak lama juga tidak berangkat.
Aku mendail lagi. ‘Oh, mungkin ibu sedang menunaikan solat’. Bisik hati
kecilku. Tiba-tiba, telefonku berbunyi. Wajah ibu terpapar pada skrin. Aku
tersenyum. Rindu pada ibu. “ Assalamualaikum sayang ibu,” senyumku terus
meleret. Aku menjawab salam ibu. Lama kami berbual. Aku bertanya tentang
kesihatan ayah. Sejak aku masuk ke sini, kesihatan ayah seolah-olah terganggu.
Ayah kerap sakit-sakit badan. Bimbang aku dengan keadaan ayah. Ayah sangat tidak
suka ke klinik. Hospital apatah lagi. Waktu aku sedang berbual dengan ibu, ayah
di surau. Mendengar pengajian kitab. ‘ Agaknya pukul 10 baru ayah pulang’,
bisik hatiku.
Ibu sebenarnya khuatir dengan aku.
Kata ibu, aku terlalu sibuk dengan urusanku sehingga hujung minggu juga aku
sukar untuk pulang ke rumah. Padahal rumahku tidaklah jauh sehingga memakan
masa dua atau tiga jam. Aku mengeluh. Perbualan sebegini sudah terlalu kerap
berlaku. Aku dalam dilema. Tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada ibu dan
ayah. Ibu dan ayah orang yang terpelajar. Sudah tentu mereka tidak mahu aku
terlibat dengan mana-mana jemaah yang pada mereka tidak baik.
“Ibu, angah tahu apa yang angah
lakukan. Angah faham apa yang angah sedang perjuangkan. Ibu, angah cuma mohon
doa dan restu daripada ibu dan ayah. Angah takut sekiranya angah berjalan di
atas muka bumi ini tanpa redha seorang ibu”. Aku menangis di dalam hati. Suka
acap kali begitu. Sudah terlalu kerap. ‘ Redhai langkah anakmu ini, ibu’, doaku
dalam hati.
“Suka hati angah la. Angah buat
perkara baikkan?”, kata-kata ibu buat aku terasa. Aku beristighfar di dalam
hati. Mana mungkin seorang anak terasa hati dengan ibunya. Ibu berpenat lelah
membesarkan kita, mendidik kita sehingga ke hari ini dengan pengorbanan yang
begitu besar. Aku terus beristighfar di dalam hati. Aku tahu, ibu dan ayah
sedar akan perubahanku. Perubahan sikapku yang dulunya sangat baran dan suka
menengking. Perubahan aku dari segi pakaian dan ibadahku. Kalau dulu,
qiamullail tidak ada dalam kamus hidupku. Kalau dulu, Al-Mathurat hanya
disebut-sebut tanpa pernah membacanya. Allahu, jahilnya aku sewaktu dahulu.
Alhamdulillah, Allah pilih aku untuk berada di atas jalan ini. Jalan yang
menuntut aku untuk belajar berkorban dan menguatkan hati.
Hari demi hari. Hidupku seolah-olah
bergelumang dengan tarbiyyah dan dakwah. Manusia itu punya pelbagai garam.
Menjadi murabbi yang sukses bukanlah perkara yang mudah. Perlu ada ilmu dan
skill yang mantap. Karat-karat jahiliyyah harus dibuang walaupun sayang. Dakwah
fardiyah perlu dipelajari dan dipraktikkan. Daie itu bukan didatangi, tapi daie
itulah yang mendatangi mad’u. Aku tidak mahu menjadi ahli ibadat yang
bermain-main, tapi aku ingin bersama-sama dengan mereka yang memperjuangkan
agama. Alangkah ruginya kita andai kita sekadar menjadi orang yang bertepuk
tangan dan bersorak gembira atas kemenangan Islam dengan memakai wangian yang
harum sedang pejuang Islam bermandikan peluh dan darah.
Selama ini aku tidak pernah menjaga
ikhtilat. Meskipun rakan-rakanku bukanlah terdiri daripada mereka yang
berstatus lelaki. Sejak aku ditarbiyyah, aku mengenal mana intan, mana permata.
Aku sedar, di universiti ini sendiri sukar untuk kita menjaga ikhtilat. Tapi,
aku cuba. Aku cuba untuk tidak bermain dengan hati. Friend list aku di facebook
semuanya perempuan. Mana-mana lelaki yang ingin menjadi rakanku di facebook,
aku tolak tanpa berfikir panjang. Itu caraku. Moga Allah redha dengan usahaku
yang sedikit ini. Biarlah aku dianggap sombong, asal hatiku terjaga daripada
mainan hati. Kerana aku sedar, syaitan itu tidak pernah berhenti untuk
menyesatkan kaum Adam. Alhamdulillah, ramai di antara mereka yang menghormati
pendirianku.
Sudah empat tahun aku berada dalam
jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Aku mula mengenal erti kehidupan. Aku mula
mengenal Tuhanku. Aku mulai faham apa ertinya aku menganut Islam. Aku juga
manusia biasa. Kadangkala aku tidak terlepas daripada melakukan dosa. Namun,
sampai bila kita harus menunggu untuk berubah ke arah yang baik? Aku percaya,
ada sesuatu dalam diriku yang Allah nampak sehingga aku menjadi kader dakwah.
Teringat aku akan bicara murabbiahku, ‘Ada sesuatu yang istimewa dalam diri
antunna yang Allah lihat’. Pada aku,
tarbiyyah adalah segala-galanya. Tanpa tarbiyyah, bagaimana kita mahu
menyambung rantai-rantai perjuangan Rasulullah? Rasulullah dan sahabat baginda
berpenat lelah, bersusah payah memastikan syiar Islam tersebar luas, takkan
kita hanya ingin menjadi pemerhati? Tidakkah kita mahu syurga yang tertinggi?
Petang itu, aku kelas seperti biasa.
Gembira rasanya bila dapat menziarahi anak usrahku. Mujur pagi tadi anak
usrahku tidak ada kelas. Kesempatan itu aku gunakan dengan sebaiknya. Anak
usrahku terkejut apabila aku membawa hadiah buatnya. Katanya, hari ini bukan
hari kelahirannya. Aku tersenyum. Itu taktik memikat hati. Di dalam kelas,
pensyarah masih belum masuk. Aku memerhati keadaan sekeliling. Ada yang
bergelak ketawa, ada yang menulis sesuatu dan ada yang berbual kosong. Aku
mencapai kitab Allah. Membacanya dengan penuh tertib dan perasaan. Aku isi
masaku dengan mengingati Allah. Aku bimbang, jika aku terleka daripada
mengingati Penciptaku, syaitan akan masuk ke dalam hatiku dan membisikkan
kelalaian kepadaku.
“ Tahniah Nisa”, ucapan itu aku
terima daripada rakan-rakanku pada hari graduasiku. Aku berjaya menamatkan
pengajianku di universiti terkemuka ini. Alhamdulillah, aku juga diterima
bekerja di sebuah syarikat penerbitan sebelum aku tamat pengajian lagi. Aku
kira, semua ini adalah rezeki daripada Allah. Aku juga sedang bertatih untuk
menulis bagi menghasilkan karyaku sendiri. Semua ini adalah kasih sayang
daripada Allah. Bukan mudah untuk aku berda sehingga ke tahap ini. Semuanya
menuntut pengorbanan masa dan harta. Niatku, sebahagian wang yang aku terima
hasil titik peluhku akan aku infakkan ke jalan dakwah ini. Moga Allah redha.
Nur Sabihah Binti Nawi,
Beliawanis Pembina UKM.
























