PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Monday, 30 April 2012

BEDUK DIKETUK : Sejauh mana kepekaanmu.


“Apabila beduk diketuk, tentulah ada yang rasa terkejut, tak senang, malah ada kalanya ‘bingit’. Namun sebaik menyedari untuk apa beduk itu diketuk, kita akan mula memberi perhatian,mendengarnya dengan teliti dan bertindak selaras dengan mesej yang dibawanya. Suara peringatan ada kalanya tidak perlu terlalu nyaring, namun cukup sekadar dapat didengar oleh telinga dan hati. Orang yang bijaksana akan lebih terkesan oleh bisikan berbanding jeritan.”


Begitulah sebahagian daripada kata-kata penerangan mengenai buku yang menarik ini. Sudah tentu ramai yang tidak asing lagi dengan karya penulis bernama Pahrol Mohd Juoi, yang kebanyakannya membangkitkan semangat dan kesedaran kepada si pembaca dengan madah-madah menusuk kalbu. Pastinya yang telah menelaah kebanyakan karyanya akan mendapatkan buku penulisan beliau yang terbaru ini. Bagi yang masih belum mengenali beliau, pasti akan kagum dan berusaha untuk mencari karya-karya beliau yang lain setelah membaca buku Beduk Diketuk ini.

Perbincangan yang kebanyakannya berkisar mengenai mentaliti masyarakat kini yang pada pandangan penulis adalah yang sepatutnya diperbetulkan antaranya terangkum dalam tajuk Kisah Solat Subuh berjemaah, Ingat Mati Tingkatkan Produktiviti dan berbagai-bagai lagi di samping hiasan ilustrasi yang tidak hanya mencuit hati tetapi penuh makna tersirat di setiap permulaan tajuk buku ini. Jika difikirkan, kebanyakan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat dan negara kini adalah kerana kefahaman dalam diri setiap individu Muslim tentang Islam dan cara hidup. Salah faham yang berlaku kadang-kadang dilihat kecil dan tidak berpengaruh, tetapi sebetulnya, ia seperti ‘tip of iceberg’, kelihatan kecil di atas, tetapi rupanya banyak lagi permasalahan yang perlu diselesaikan di bawahnya.  

Antara isi menarik yang ingin dikupas melalui buku ini adalah mengenai demonstrasi. Yang mana penulis mengetengahkan isu masyarakat yang berdemontrasi di jalanan untuk mengecam tindakan Israel yang menindas rakyat Palestin. Tetapi pada waktu yang sama ‘menyokong’ produk dan cara hidup keluaran zionis yahudi ini sendiri seperti rokok, hiburan, judi, arak, riba dan sebagainya. Perkataan ‘menyokong’ di sini tidaklah bermaksud masing-masing yang berdemonstrasi itu mengamalkannya, ia lebih kepada maksud merelakan dan membiarkan ianya masuk dalam dunia kita dan menular dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat Islam. Kita tidak lagi mengamalkan Islam sepenuhnya. Hal ini hanya menyebabkan pihak mereka yang kita tentang dalam demonstrasi itu ketawa dan bertepuk tangan.

Sebaliknya, kita sepatutnya menekankan dahulu perkara yang penting seperti perintah Allah untuk solat, tinggalkan yang haram; riba,judi, hiburan yang melekakan dan sebagainya. Dengan itu kita sebenarnya berdemonstrasi setiap hari. Musuh lebih takut sekiranya kita semuanya mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya, seperti kata-kata dalam buku ini,

“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat Subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insyaAllah, Yahudi akan gigit jari.”
“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita bakar. Jeritan Allahuakbar dalam demonstrasi itu baik dan bersemangat, tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allahuakbar daripada umat yang tidak solat?

Nasihat ini sebenarnya bukan sahaja merujuk kepada demonstrasi penentangan terhadap Zionis, tetapi ia boleh diaplikasikan kepada demonstrasi jalanan yang  pada dasarnya untuk menegakkan keadilan dan nilai kemanusiaan itu sendiri. Bukankah Islam itu bermaksud sejahtera, aman, kepatuhan dan penyerahan diri. Jadi mengapa tinggalkan panduan hidup yang diberikan oleh Pencipta kita untuk dilaksanakan manusia yang memegang ‘title’ Khalifah di muka bumi.

Akhir sekali, antara kata-kata yang perlu difikirkan adalah

“alangkah baiknya jika jeritan Allahuakbar dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus mengecilkan pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?”

Nurul Husna Zulkarnain.
Sains Aktuari
Fakulti Sains dan teknologi.
UKM

BURUNG vs KAPAL TERBANG

 

Apa yang anda fikirkan bila melihat burung?

‘Oh aku nak terbang bebas seperti burung. Aku nak bebas’

‘Seronoknya jadi burung. Dapat terbang ke sana sini dengan cepat, tidak perlu  susah-susah naik motor kereta untuk bergerak’

‘SubhanAllah, hebatnya ciptaan Allah. Burung tu terbang tanpa jatuh. Ia milik Allah. Kerdilnya aku, tiada apa yang ada pada aku melainkan semuanya pinjaman dari Allah’

Apa pula  yang anda fikirkan bila melihat kapal terbang?

‘Hebat betul la adik beradik Wright yang mencipta kapal terbang ni. Dan hasilnya sekarang, semua orang mampu terbang’

‘Subhanallah, jika tidak Allah menghendaki kapal terbang ini dapat berada di udara, pastinya kapal terbang tidak wujud hari ini.’

Sedar atau tidak, pelbagai kata-kata atau fikiran manusia tentang sesuatu perkara. Hati yang sentiasa berzikir kepada Allah, Allah akan menganugerahkan pandangan dan fikirannya selari dengan apa yang Allah kehendaki manakala hati yang jauh dari Allah akan lupa untuk bersyukur dan pandangan dan fikirannya tentu lebih kepada ketakjuban pada dunia. Jika kita lihat, haiwan yang mempunyai populasi yang terbesar di dunia adalah antaranya burung. Mereka mampu berhijrah dari satu kawasan yang jauh apabila pertukaran monsun (aliran angin) berlaku. Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang menjadi persinggahan burung-burung yang berhijrah ini. Pernahkah kita berfikir, hebatnya burung ini berhijrah dari suatu kawasan yang jauh ke kawasan lain untuk kelangsungan hidupnya? Tentunya ada kuasa hebat mengatur semua ini! Subhanallah.

Allah telah membawa kita berfikir melalui ayatnya yang indah pada surah al-Mulk ayat 19:

“Apakah mereka tidak melihat burung-burung yang terbang di atas mereka dengan mengembang dan mengecutkan kepaknya? Tiada yang menahankan burung-burung itu dari jatuh melainkan Allah Yang Maha Penyayang. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.”

Dalam Tafsir al-Quran Fizilal oleh as-Syahid Syed Qutub telah menjelaskan, Allah menurunkan ayat ini supaya kita berfikir akan salah satu ciptaan Allah yang sangat hebat. Fenomena penerbangan burung yang diceritakan dapat ayat ini adalah berlaku di setiap saat dan detik. Terkadang kita merasakan fenomena ini sesuatu yang biasa dan tiada apa yang pelik. Oleh sebab fenomena yang sentiasa berlaku di depan mata, telah membuatkan kita lupa kepada qudrat dan kebesaran Allah.

 Perhatikanlah burung ketika ia mengembang dan meluruskan kedua-dua sayapnya kemudian mengecutkannya. Ketika ia melakukan dua gerakan mengembang dan mengecutkan kepak-kepaknya itu, ia tetap berada di udara dan terbang dengan mudah dan selesa. Seolah-olah menyaksikan pertunjukkan penerbangan jet. Betapa indahnya penerbangan yang menjunam turun dan menjulang naik yang dilakukan jet tidak ubah seperti yang dilakukan oleh burung.

Renungilah mekanisme ciptaan Allah ini dan perhatikanlah penerbangan yang unik dilakukan oleh beribu jenis burung yang wujud di dunia. Setiap orang yang memerhatikannya pasti tidak jemu mata dan tidak membosankan hati. Bila diamati, ia adalah suatu kenikmatan bagi mereka yang berfikir dan meneliti ciptaan Allah yang menakjubkan di mana bertemunya keindahan dan kesempurnaan.

Melalui ayat 19 surah al-Mulk ini, Allah memberi isyarat kepada kita supaya memerhatikan pemandangan menarik ini:

“Apakah mereka tidak melihat burung-burung yang terbang di atas mereka dengan mengembang dan mengecutkan kepaknya”

Kemudian Allah menyatakan bahawa di sebalik  penerbangan itu terdapat pentadbiran dan perencanaan Allah:

“Tiada yang menahankan burung-burung itu dari jatuh melainkan Allah Yang Maha Penyayang.”

Allah Yang Maha Penyayanglah yang menahan burung-burung itu dari gugur dangan undang-undang yang rapi dan pelik, di mana segala sesuatu sama ada yang kecil atau besar dijaga dengan teliti walau pembentukan dari sekecil sel dan atom. Ini menunjukkan adanya undang-undang alam dari Allah yang memelihara keseimbangan dan keselarasan di bumi, di udara dan juga kejadian burung itu sendiri. Ini membolehkan burung dapat terbang berulang kali dengan teratur.

Tiada yang dapat menahan burung-burung ini dari gugur dengan qudrat kuasa-Nya yang tidak lemah dan tidak terlepas dari pengawasan-Nya. Qudrat pengawasan Ilahi inilah yang memelihara undang-undang alam ini bertindak terus selama-lamanya dengan rapi dan teratur. Ia tidak pernah lemah dan tidak pernah kacau walaupun sekelip mata hingga ke masa yang dikehendaki Allah.

Allah melihat dan mengetahui segala sesuatu, kerana itu Dia menyedia, mengatur, memberi tenaga kekuatan dan memelihara segala-galanya di setiap saat dengan penuh ketelitian dan ilmu yang mendalam. Penahanan atau pemegangan binatang-binatang yang hidup di atas bumi yang berlegar di udara dengan segala penghuninya, dan sama dengan penahanan dan pemegangan seluruh jirim yang wujud di langit. Tiada yang menahannya dari gugur melainkan Allah. Seluruh ciptaan Allah itu adalah mukjizat, sangat indah dan memberi saranan dan ilham.

Apa pula kaitannya burung dengan kapal terbang? Ada sesetengah burung perlu berlari dahulu, kemudian mengepakkan sayapnya untuk terbang. Kapal terbang juga perlu untuk meluncur di atas landasan sebelum dapat terbang. Bentuk sayap burung adalah aerodinamik yang mana membantu untuk terangkat di udara dan ia serupa dengan sayap pada kapal terbang. Burung Kelicap (hummingbird) perlu mengepakkan sayapnya yang kecil dengan laju untuk terus kekal di udara ketika menghirup madu bunga. Fenomena ini juga diaplikasikan oleh manusia dalam penciptaan helikopter yang mana sayap atasnya bergerak dengan frekuensi yang sangat tinggi untuk terapung di udara.

Pelbagai lagi ciptaan Allah yang diambil oleh manusia dalam mencipta alat yang memudahkan manusia sendiri. Tiada apa yang perlu dibanggakan kerana semua ilham dan idea adalah datang dari Allah. Jika kita berbangga dapat mencipta sesuatu yang luar biasa, tapi ingatlah tiada yang mengizinkan melainkan Allah subhanahu wa ta’ala Tuhan yang menciptakan segala yang ada di bumi dan langit. Semua itu adalah pinjaman dari Allah dan akhirnya juga akan dikembalikan kepada-Nya semula. Ciptaan manusia adalah lemah tapi ciptaan Allah penuh dengan kesempurnaan. Jadilah seorang saintis yang ilmunya itu untuk melihat bukti kebesaran Allah yang mendekatkan diri kepada Allah bukan seorang yang menjadikan ilmunya itu untuk berbangga-bangga diri dan lupa dengan kewujudan Allah. Nauzubillahi min zalik.


Nur Raidah Rahmat
Pelajar Zoologi
Fakulti Sains Teknologi
UKM, Bangi.

Monday, 23 April 2012

Siswa UKM hilang?

Dunia mahasiswa kini digemparkan dengan kehilangan seorang siswa yang bernama MUHAMAD UBAIDI BIN ABD MUNIR, 23 tahun. Beliau merupakan pelajar Mikrobiologi di UKM. Dari sumber maklumat diperolehi iaitu Harian Metro, Ubaidi dikatakan hilang dari rumah ibu saudaranya di Seri Kembangan dan dipercayai akibat tekanan selepas tidak menamatkan pengajian dalam bidang mikrobiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Kehilangan Ubaidi disedari apabila beliau  tidak pulang ke rumah termasuk gagal hadir ke kuliah, kehilangannya mendorong ahli keluarganya mencari Ubaidi di sekitar Bangi dan Putrajaya kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Atas kesedaran sebagai satu angkatan belia muslim yang peduli dengan umat, kami PEMBINA berdukacita di atas kehilangan beliau dan berasa terpanggil untuk memohon bantuan daripada orang ramai yang menjumpai MUHAMAD UBAIDI BIN ABD MUNIR, Pelajar Mikrobiologi UKM (No. Matrik: A119639) atau mempunyai maklumat terkini mengenai kedudukan, bantulah dengan menghubungi ayah beliau di talian 014-8499825 atau PPIM.



Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan” [Surah al-Maidah: 2]

Oleh itu, sekiranya anda tidak mempunyai maklumat berkenaan beliau, bantulah dengan menghebahkan aritkel ini kepada sesiapa di dalam rangkaian sosial anda. Bantuan anda semua amat diperlukan kerana ibu beliau benar-benar merayu kepulangannya dalam Harian Metro baru-baru ini.





Sunday, 15 April 2012

'Zero 2 Hero' Semakin Hampir!

Satu seminar motivasi berlandaskan amal Islami yang telah lama dinantikan oleh semua, akan dianjurkan oleh PEMBINA UKM dengan kerjasama PERSADA UKM, seminar ini dikenali sebagai 'Zero 2 Hero' yang mana ia bakal menampilkan beberapa penceramah dan panel yang telah bermula dari 'Zero' dan kini telah bergelar 'Hero' dalam bidang masing-masing.

Berikut adalah butiran maklumat mengenai seminar 'Zero 2 Hero':

Tarikh: 21 APRIL 2012
Hari: Sabtu
Tempat: Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh (DK43.102)
Masa: 8 pagi - 2 petang

Makanan akan disediakan! Tiada yuran penyertaan!

Ceramah "From Zero To Hero" disampaikan oleh Prof. Madya Madya Dr. Azizan Ahmad, seorang pensyarah di Fakulti Sains & Teknologi yang terkemuka dan sangat dikenali di UKM. Beliau akan mendedahkan rahsia dan langkah bermula untuk membebaskan diri daripada seorang yang 'Zero' dan akhirnya menjadi 'Hero'.

Seminar 'Zero 2 Hero' akan diledakkan lagi dengan ceramah bertajuk "Ledakkan Potensi Dirimu!" yang disampaikan oleh Nur Mastura Mansor, seorang motivator yang terkenal di kalangan mahasiswa mahasiswi muda di kampus dan merupakan mantan MPP di USM suatu masa ketika dahulu.

Pada penghujung seminar ini, sebuah forum bertajuk "Sang Juara" akan menampilkan Saudara Izzat Akmal sebagai moderator, seorang pendebat UKM yang amat disegani. Di samping itu, forum "Sang Juara" juga akan menampilkan dua orang panel yang telah terserlah ke'hero'annya, mereka ialah Tuan Hj. Abd. Rahman Mat Dali dan Dr. Nahdia Afifah Abdul Jalil.

Siapa yang tidak kenal Tuan Hj. Abd. Rahman Mat Dali, (http://img214.imageshack.us/img214/4567/92421225.jpg) beliau adalah pengarah urusan atau singkatannya CEO dalam Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah di Bangi. Beliau juga adalah antara tokoh jutawan muslim yang  akan membongkarkan bagaimana untuk menjadi 'Sang Juara'.

Ahli panel kedua tidak kurang hebatnya, Dr. Nahdia Afifah Abdul Jalil adalah 'Sang Juara' yang disegani di kalangan mahasiswa mahasiswi di Mesir pada suatu masa ketika dahulu kerana beliau merupakan graduan cemerlang dalam bidang perubatan di Universiti Mansurah, Mesir.



Daripada 100% orang yang diberi peluang untuk menjadi 'Hero', 99% orang memberi seribu alasan dan tidak mengambil tindakan manakalan hanya 1% orang sahaja yang berani menyahut cabaran untuk berubah dari 'Zero' hingga menjadi 'Hero' dan melawan seribu alasan. Siapakah 1% orang itu? Adakah anda tergolong dalam golongan 99% atau 1% orang? Bukti jika anda seorang bakal 'Hero'. Bukan pada angan-angan kosong tapi pada tindakan. Anda yang menentukan masa depan anda.

Daftarlah segera sebelum kerusi anda direbut oleh orang lain kerana tempat duduk adalah terhad. Seminar 'Zero 2 Hero' tidak mengenakan ratusan tinggi seperti seminar motivasi yang lain di luar, malah ia PERCUMA. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi 'Hero'. Siapa anda hari ini tidak penting, yang penting siapa anda pada masa hadapan!

Untuk pendaftaran anda boleh taipkan SMS <Nama> <Z2H> ke SYUKRI 017-8270871 (untuk lelaki sahaja) atau FATHIN 017-2633957 (untuk perempuan sahaja). Atau, anda tidak perlu mengeluarkan sesen pun dengan hanya mendaftar secara online melaluihttps://docs.google.com/spreadsheet/viewform?formkey=dDZoc0hQQkdPSEpjcTF0VF9PandhOGc6MA

Berita baik! Sukacitanya pihak PEMBINA UKM ingin memaklumkan bahawa PESERTA yang membawa PALING RAMAI rakan menghadiri seminar ini berpeluang memenangi sebuah hadiah misteri! Pemenang akan diumumkan dalam seminar 'Zero 2 Hero'. Siapakah pemenang itu?Mungkin anda...tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?



Friday, 6 April 2012

Al-Baqarah Ayat 120: Penjajahan Yahudi




Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu

(Al-Baqarah: Ayat 120)

Sebab Turunnya Ayat 120

Berkaitan ayat ini, para ahli tafsir berkata:Mereka telah meminta Nabi SAW mengadakan genjatan senjata. Mereka berhasrat jika diberhentikan peperangan dan ditangguhkan, mereka akan mematuhi dan menyetujui Nabi SAW. Lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Ibn Abbas berkata bahawa ayat tersebut adalah berkaitan dengan Kaabah. Orang-orang Yahudi dan Nasrani di Najran mengharapkan agar Nabi SAW bersembahyang menghadap ke arah kiblat mereka. Mereka berputus asa kerana Nabi SAW tidak menyetujui agama mereka. Lantas Allah menurunkan ayat di atas.

Huraian maksud ayat 120 berdasarkan Tafsir al-Munir karangan Wahbah Zuhaili ialah peringatan kepada Nabi Muhammad dan umat supaya jangan mengikut Yahudi dan Nasrani.

Perkataan millah dalam ayat 120 bermaksud cara hidup yang disyariatkan untuk para hamba (Allah). kekufuran itu umumnya adalah satu millah. Ia juga dipanggil sebagai ‘din’ (agama dan anutan), kerana seluruh penganutnya tunduk mematuhi penggubal agama tersebut.

Sikap degil ahli kitab tersebut disanggah oleh Allah SWT dengan mengatakan bahawa petunjuk Allah dan agamaNya ialah Islam yang diturunkan kepada nabi-nabi. Itulah satu-satunya petunjuk yang wajib diikuti. Adapun ajaran yang kebanyakannya berdasarkan hawa nafsu semata-mata dan kehendak syahwat. Contohnya mereka telah meminda kalam Allah dari maksudnya yang sebenar dengan membuat andaian palsu.

Daripada ayat di atas dapat difahami bahawa usaha pihak kuffar tidak putus-putus ingin menghancurkan ummat Islam dalam segenap aspek. Maka benarlah firman Allah ini seperti yang kita maklum bahawa sebelum ini Barat telah menjajah dunia Islam dalam bentuk peperangan, namun mereka kalah. Kemudian, tanpa disedari oleh kita, ummat Islam sekarang masih lagi dijajah walaupun pada zahirnya kita berada dalam Negara yang merdeka. Kita telah dijajah dalam pelbagai bentuk seperti dalam pendidikan, politik, kemasyarakatan, budaya dan sebagainya.

Ayat ini adalah bukti bahawa usaha Yahudi dan Nasrani tidak putus-putus menyesatkan ummat Islam sehinggalah ummat Islam bangkit dari tidur mereka dan membuatkan pihak kuffar takut. Serangan pemikiran sejak akhir-akhir ini adalah liberalisme,plurarisme dan sebagainya yang berkaitan dengan ideologi barat sudah pun merebak dalam pemikiran masyarakat Islam seperti di Indonesia, Singapura dan lain-lain.

Dalam penulisan ini, penulis ingin berkongsi bahawa di sebalik idealogi ini tanpa kita sedar bahawa dalang-dalang penyebar idealogi ini adalah para cendikiawan-cendikiawan Islam tetapi pemikiran mereka diasuh  oleh puak yahudi atau Oreantalis.

Penjajahan Istilah Bahasa oleh Barat adalah salah satu bentuk penjajahan pemikiran tanpa kita sedari. Kaedah inilah yang dilakukan oleh para oreantalis dalam memutar belitkan penggunaan istilah dalam bahasa Inggeris untuk memberi pandangan bahawa Islam adalah agama pengganas dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan maksud dalam Islam. Cara mereka ialah dengan menerbitkan sebuah kamus Arab- Inggeris iaitu kamus al-Munjid. Pengarang kamus ini adalah pihak oreantalis yang cuba untuk memesongkan pemikiran ummat islam dengan mendatang maksud perkataan dalam kamus seperti Isa, Berhala, Muhammad, hari jumaat, sabtu dan sebagainya dengan merujuk kitab-kitab bible mereka. Maksud perkataan ini berbeza dengan apa yang kita faham seperti hari Jumaat. Kalau hari jumaat dalam Islam adalah penghulu bagi segala hari namun dalam kamus Munjid, jumaat diberi maksud hanya salah satu hari dalam seminggu.

Penulis juga mengaitkan penjajahan Istilah ini kerana para oreantalis cuba ingin memadamkan kefahaman sebenar ummat Islam terhadap al-Quran dan ilmu yang berkaitan dengannya iaitu ulum al-Quran. Perkataan seperti ablogation tidak sesuai diterjemahkan sebagai nasakh dan mansukh.

Perkataan lain yang diputar belitkan oleh barat iaitu:
  1. Terrorist (pengganas). Namun maksud dalam Islam sebagai mana diberikan oleh Islamic jerusalam (yang diharamkan PBB) ialah orang yang membunuh musuh Allah.
  2. Extremist (salah seorang yang berusaha mewujudkan Islamic state). Namun dalam Islam maksud sebenar ialah ‘isyan (orang yang melakukan berdosa), Fusuq (orang yang fasiq) dan orang kufur.
  3. Presint maksud sebenar adalah bahasa gereja (jalan untuk ke gereja) - sekarang digunakan sebagai tempat di putrajaya.
Perkataan di atas sebagai contoh, ia adalah perkataan yang kita sering dengar tetapi kita tidak tahu sebenar menurut pandangan Islam.

Ini adalah sedikit pengkongsian ilmu untuk membuka minda kita supaya bangkit melawan musuh kita. Kita didedahkan dengan idealogi-idealogi mereka seperti liberalism  namun tanpa kita sedar penggunaan bahasa kita juga turut dijajah oleh mereka. Segala fakta ini adalah benar kerana ia dinyatakan oleh pensyarah penulis Prof Tengku Ghani Tengku Jusoh (pensyarah bidang kesusasteraan di Scotland).


Penulis: Siti Nor Azizah binti Abdul Majid (UKM)

Friday, 30 March 2012

Apa anda faham dengan takwa..??

Sekadar Gambar Hiasan - Di dunia, kita begitu berhati-hati supaya tidak ditipu,tapi adakah kita berhati-hati supaya tidak tertipu dengan muslihat syaitan di Akhirat?

Mungkin sejak dari kecil kita pernah mendengar perkataan takwa, malah dalam khutbah jumaat setiap minggu yang kita hadiri, perkara pertama yang ditekankan oleh khatib adalah bertakwa (kerana itu salah satu syarat sah solat jumaat). Jika ditanya saya, saya akan menyatakan sejak di bangku sekolah lagi sudah mendengar takwa, cuma masalahnya TIDAK TAHU apa itu takwa. Sejak melangkah ke alam universiti barulah saya mengetahui dan memahami apa itu takwa setelah di pilih Allah untuk melalui beberapa proses tarbiyyah.

Maka, apa itu takwa?

Sebelum ini, mari saya bawa anda semua ke sebuah kisah para sahabat r.ajamain yang masyur yang mana satu hari, Umar r.anhu bertanya kepada Ubayy b. Kaab r.anhu,

“Apakah yang kamu faham tentang takwa?”
Ubayy berkata, “Wahai Umar, pernahkah engkau berjalan di kawasan yang dipenuhi duri?”
Umar menjawab , “Ya, aku pernah.”
Kemudian Ubayy bertanya semula, “apakah yang kamu lakukan?”
Umar pun berkata, “Aku akan selak sedikit kainku dan akan berjalan dengan cukup berhati-hati untuk mengelakkan terkena duri-duri itu.”
Kemudian Ubayy memberitahu, “Ya, itulah takwa…”

Ya, itulah takwa.

Ketika di bangku sekolah, kita sering diberitakan oleh para asatizah yang mendidik kita bahawa kita wajib takut kepada Allah melebihi segala-galanya. Dengan erti kata lain, inilah takwa. Namun, Syeikh Yawar Baig menyatakan ia tidak berapa adil untuk seorang hamba takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya.

Dimudahkan seperti ini, ibaratnya seperti kita takut pada seekor ular, sudah pasti kita tidak mahu berjumpa dengan ular ketika di perjalanan atau di rumah. Atau contoh lain, jika kita takut pada hantu, sudah pasti kita tidak mahu berjumpa dengan hantu. Tengok cerita hantu barangkali sudah takut.mMaka, tidak mungkin sama sekali seorang manusia atau hamba tidak mahu bertemu dengan Tuhannya? Oleh itu, maksud yang paling tepat untuk takwa adalah TAKUT untuk MENDERHAKAINYA.

Begitu pentingnya takwa ini sehingga banyak kali di sebut oleh Allah supaya suruh bertakwa, sudah pasti tinggi nilaian takwa ini.

Kita sudah sedia maklum mengenai khutbah terakhir baginda Rasulullah s.a.w. , baginda ada bersabda yang bermaksud:

“Kamu semua adlah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh..”

Subhanallah!
Walau sehebat mana seorang manusia itu,
walau sekaya mana seorang manusia itu,
walau segagah mana manusia itu,
walau semiskin mana manusia itu,
walau selemah mana manusia itu,
perbezaan antara mereka hanyalah pada 2 perkara, iaitu TAKWA dan AMAL SOLEH.

Kerana jika seorang manusia itu kaya, mungkin dia akan bongkak atau angkuh dengan kekayaan tersebut.
Jika seseorang itu gagah, kemungkinan dia akan sombong dengan kegagahan tersebut. Jika seseorang itu miskin, kemungkinan dia akan kufur atau menyalahkan takdir akan kemiskinan tersebut.  Jika dia seorang yang lemah, kemungkinan dia akan menyalahkan orang lain atau mencari alasan dengan kelemahan tersebut.

Namun jika dia seorang yang bertakwa dan beramal soleh? Tiada istilah angkuh, atau sombong, mahupun menyalahkan takdir untuk di ungkapkan oleh orang yang bertakwa ini.

Hebat bukan?

Dalam surah al Baqarah ayat 1-5, Allah sudah menjelaskan kepada kita mengenai siapa orang yang bertakwa ini dan apa ganjarannya.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah yang bermaksud:

“Alif Laam Mim”. (1)
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa” (2)
“(Iaitu) bagi mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka”.(3)
“dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.” (4)
“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (5)

Maka tinggal lagi bagaimana pula untuk kita meraih takwa ini?

Allah telah memberi tahu mengenai siapa orang yang bertakwa melalui banyak firmannya. Antaranya surah ali Imran ayat 133 sehingga 135.
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa (133)”
“(iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (134)
“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) megingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tida meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.” (135)

Lihat, daripada ayat ini kita dapat rungkaikan bahawa ciri-ciri orang bertakwa itu adalah :
1) Orang yang berinfak(bersedekah) di waktu lapang (kaya) atau sempit (miskin).
2) Orang-orang yang menahan amarah (sabar)
3) Orang-orang yang memaafkan orang lain.
4) Orang yang suka berbuat kebaikan.
5) Orang-orang yang apabila buat kesalahan/kejahatan, maka segera bertaubat.

Subhanallah, ini baru beberapa potong ayat, belum lagi jika kita mencari ciri-ciri orang bertakwa dalam al Quran ini.

Dan salah satu cara lagi untuk meraih takwa adalah dengan menolak atau menghindari kejahatan dan kemaksiatan dengan erti kata lain, mencegah kemungkaran.

Untuk menyatakan ingin mencegah kemungkaran, memang suatu perkara yang mudah, tetapi sejauh mana pengaplikasiannya dalam reality masyarakat hari ini?

Contohnya, sebagai mahasiswa/i, kita melihat seorang sahabat kita sedang berdua-duaan dengan kekasihnya di tempat yang sunyi ataupun membonceng kekasihnya dengan motosikal.

Apa yang anda akan lakukan ketika itu?

Jawapan ada pada anda semua. Tepuk dada tanya iman. Jika anda pilih untuk mencegahnya, yakinlah bahawa anda akan merasai suatu nikmat yang anda tidak dapat gambarkan dengan projector mahupun Microsoft word.

Terakhir sekali, syaitan ni lebih takut kepada orang yang berani menolak maksiat dan kemungkaran berbanding orang yang tak terlibat dengan maksiat dan kemungkaran. 
Syaitan akan sentiasa memasang strategi untuk manusia agar tidak berkesempatan berfikir untuk ummah dan berfikir untuk mencegah kemungkaran juga maksiat.


Penulis : Ahmad Shukery Azizan (UKM)

BERSEDERHANALAH, USAH BERMEWAH..!

Hadith akhir zaman – BAHAYA KEMEWAHAN


Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".

Hadith riwayat Tarmizi

Hadith ini menerangkan bahawa umat Nabi Muhammad s.a.w. pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan waktu dalam kehidupan. Sebagai contoh dalam hadis di atas bahawa pakaian kita silih berganti antara pagi dan petang, makanan yang tidak putus-putus iaitu selepas diangkat satu hidangan akan datang hidangan yang lain pula dan rumah-rumah yang tersergam indah dengan bermacam-macam hiasan yang cantik diibaratkan cantiknya kelambu kaabah. 

Mungkin kita akan berkata seperti sahabat baginda pada waktu itu iaitu “tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini” seterusnya mengatakan bahawa mereka akan lebih menumpukan kepada ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki lagi. Tetapi Rasulullah s.a.w. menyangkal kerana baginda tahu bahawa keadaan yang seperti dikatakan oleh mereka tidak akan terjadi, justeru keadaan mereka pada hari yang mereka lalui sekarang adalah lebih baik dari hari yang mereka jangkakan itu.

Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa keadaan yang serba kekurangan adalah lebih baik untuk kita untuk istiqamah dalam beribadah kerana kekurangan lebih memungkinkan kita untuk beribadah dan memgingati Allah dengan lebih banyak tanpa lalai dari Allah. Lazimnya kemewahan hidup banyak menghalang kita dari tunduk kepada Allah dan beribadat kepada Allah seperti yang berlaku zaman ini. Hal ini disebabkan manusia sering leka dan sibuk mengejar kekayaan dunia tanpa pernah merasa cukup. 

Malah kadangkala apa yang kita miliki melebihi dari keperluan berbanding dengan kehidupan ketika zaman sahabat, namun ibadat kita jauh ketinggalan dan kurang daripada mereka. Seharusnya kita mencari harta dunia pada batas-batas keperluan. Harta yang berlebihan mestilah digunakan untuk membantu orang lain yang kurang bernasib baik, menderma dan bersedekah kerana setiap harta yang kita miliki mengandungi harta orang lain. 

Oleh sebab itu kita diwajibkan membayar zakat untuk membersihkan harta seterusnya sebagai saham di akhirat kelak. Sesungguhnya mencari dunia itu perlu untuk akhirat. Carilah bekalan untuk akhirat, maka allah akan mencukupkan dunia. 

Kumpulan hadis oleh Abu Ali Al-Banjari




Penulis: Siti Norainie Bt Pitri, Pelajar Tahun 2, Jurusan Sains Bahan (UKM), Ahli PEMBINA UKM

Wednesday, 28 March 2012

Syahadah Tak Serupa Bikin



Kisah ini tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati.

Budin adalah seorang mahasiswa Muslim yang berusia dalam lingkungan dalam 20-an yang melanjutkan pengajian ijazah di sebuah universiti tempatan. Keislamannya bukanlah semata-mata kerana agama di dalam kad pengenalannya tertera “Islam” tetapi kerana dia mengaku akan keEsaan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W itu adalah pesuruh Allah melalui kalimah syahadah.

Jika ditanya apa itu kalimah syahadah sudah pasti dia akan melenting dengan berkata:

“Common la bro! Itu soalan tahap budak tadika lah…budak tadika pun boleh jawab…apa susah sangat, simple je kot…Asyhadu an lailaha illaAllah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasullullah”.

Begitulah…begitu mudah jawapan dari mulutnya.

Sepanjang pengajian berjalan, seakan ada beberapa perkara yang tidak kena dengan tingkah laku Budin yang membingungkan rakan roommatenya, Hafis. Pelbagai persoalan bermain di fikiran Hafis untuk mentafsirkan tindak tanduk Budin sepanjang berkawan dengannya.

Hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi azan subuh akan bergema, jam loceng berbunyi dengan nyaring. Hafis terjaga daripada tidurnya. Melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 5.55 pagi, lantas Hafis bangun membersihkan muka dan bersugi. Disusuli kemudian dengan mengambil air wuduk.

Tidak lama kemudian, azan subuh pun berkumandang. Hafis gegas mengejutkan Budin untuk bangun solat subuh berjemaah di surau. Namun, Budin tetap terus lena dibuai mimpi. Hafis agak tertekan melihat rakannya kaku tidak bangun, lalu menarik selimut Budin. Hafis pelik, kali ini Budin bergerak pula tapi hanya menarik semula selimutnya dan menyambung tidurnya. Memandangkan iqamah telahpun berbunyi, Hafis pasrah dan segera menuju ke surau.

Setelah selesai solat, Hafis pulang ke biliknya. Apabila pintu dibukanya, Hafis menggelengkan kepalanya melihat Budin yang masih enak tidur diselubungi dengan selimutnya. Melihat fajar semakin cerah, Hafis tidak berputus lalu terus berusaha membangunkan Budin dari tidurnya namun ternyata tidak membuahkan hasil.

Hari sudah kian cerah, semua mahasiswa sedang sibuk dengan kuliah masing-masing. Tidak lama kemudian, Hafis pulang ke biliknya setelah selesai kuliah di fakultinya. Apabila pintu dibukanya, Hafis sangkakan Budin masih tidur, rupanya dia sudah terpacak di hadapan  komputernya bermain game. Hafis pun bertanya…

“Kau tak ada kuliah ke Din pagi ni?”

Jawab Budin dengan slumber…

“Ada….tapi aku suruh kawan aku je yang sign attendance untuk aku…tak ada mood la nak pergi kuliah hari ni”

Budin mengajak Hafis ke kafe. Kebetulan Hafis tidak sempat untuk bersarapan sebelum dia pergi ke kuliah pagi tadi. Hafis menerima ajakan Budin dan berkata “Jomlah bro…aku belanja kau makan free!”. Kata Hafis itu membuatkan Budin bertambah teruja untuk pergi ke kafe.

Tetapi, lain hal pula yang terjadi di kafe. Ketika di kaunter pembayaran, Hafis dengan tanpa segan silu berkata “Bro, ko bayar sendiri lah!” Wajah Budin yang tersenyum lebar tadi berubah menjadi kusam.

Sebaik sahaja meletakkan makanan di meja, Budin dengan rasa tidak puas hati meluahkan “Apa ni bro? Tadi kat bilik kau kata nak belanja makan free. Elok-elok sampai depan kaunter kafe…kau pusing cerita pula. CAKAP TAK SERUPA BIKIN!!”

Hafis tersenyum dengan sinis lalu membalas…

“Bro!…marah ke? Tapi Allah punya marah lagi dahsyat kalau SYAHADAH TAK SERUPA BIKIN”

Budin pelik dan tertanya-tanya apa yang cuba disampaikan Hafis padanya. Hafis menerangkan lagi…

“Aku hairan sebab kau ucap kalimah syahadah, kau yakin dan mengaku tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah TAPI kau tak mahu bangun subuh untuk sembah Allah yang kau katakan layak disembah dalam kalimah syahadah yang kau dah ucap…bukan ke ini SYAHADAH TAK SERUPA BIKIN?”

Kali ini, Budin diam tak terkata. Hafis menambah lagi..

“Aku tambah hairan lagi sebab kau ucap kalimah syahadah, kau yakin dan mengaku Nabi Muhammad S.A.W itu adalah utusan Allah TAPI kau tak follow apa Nabi Muhammad S.A.W sampaikan daripada Allah. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Barangsiapa menipu maka ia bukan dari (golongan) ku.” (Muslim no. 102).

“Tapi kau ponteng kelas lepas tu suruh kawan kau yang tandatangankan untuk kau, kau menipu pula pensyarah kau dan mak ayah kau,…bukan ke ini SYAHADAH TAK SERUPA BIKIN?

Begitulah al-kisahnya sedikit gambaran tentang 'Syahadah Tak Serupa Bikin'. Ia bukan sahaja terjadi pada Budin sahaja tetapi terjadi juga pada rata-rata masyarakat Islam sekarang. Begitu ramai yang mengucap kalimah syahadah tetapi  hanya sedikit sahaja yang perbuatannya mencerminkan kalimah syahadahnya. Begitu mudah mengucap kalimah syahadah tetapi tidak semudah apa yang diucapkan untuk menterjemahkannya kepada perbuatan (amal).

Tidak logik apabila kita mengucap kalimah syahadah, tetapi akhlak dan perbuatan kita tidak berpandukan akhlak dan sunnah Rasulullah S.AW. Tidak logik juga apabila kita mengucap kalimah syahadah, tetapi pemikiran kita mirip kepada pemikiran liberalisme, pluralisme dan yang sebanding dengannya.

Di sinilah perlunya 'Syahadatul Haq' (pengakuan dan penyaksian sebenar bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah). Dalam erti kata lain, kita bukan sahaja mengucap kalimah syahadah dengan mulut sahaja tetapi harus disertai dengan hati (keyakinan teguh tanpa ragu-ragu), dan diterjemah dalam bentuk pemikiran dan perbuatan berlandaskan Quran & Hadith, bukan berlandaskan ideologi barat.

Firman Allah S.W.T dalam Surah As-saff Ayat 2-3 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Marilah sama-sama kita muhasabah, dalam setiap hal seperti sosial, ekonomi, muamalat dan lain-lain lagi adakah SYAHADAH KITA SERUPA BIKIN?



Penulis: Mohd Hazwan Harun (UKM)

Monday, 26 March 2012

Tengok IC sekejap!





"Kau bila nak berubah?"

"Nantilah.." ujar saya sambil memandang pinggan yang sudah kosong. Pinggan sahabat saya itu juga telah licin. Kami baru saja selesai menikmati hidangan tengah hari. Saya terdengar lafaz syukur dari bibirnya.  Dia memandang wajah saya, tampang, bila mendengar jawaban saya tadi.

"Kau nak tunggu bila?"dia tak jemu memujuk. Bukan hari ini saja. Sudah lama. Tak cukup dengan lafaz jelas, dia berkias. Saya faham semua ayatnya. Saya sangat faham. Tapi..

"Aku nak berubah lah ni.. Tunggu lah bila aku dah betul-betul bersedia."

"Ya..hari tu, kau cakap nak berubah masa bulan Ramadhan, sekarang dah maulid pun, apa cerita?"

"Kan  aku cakap, aku tak sedia lagi.." saya menegaskan kembali ayat saya sebentar tadi. dengan nada suara terkawal.

Saya hormatkan dia, dia memang tak jemu untuk suruh saya berbuat kebaikan, dan yang penting berhijrah. Apa pun, dia tak boikot saya, sekalipun saya tahu, saya dan dia sangat berbeza. Tengoklah sekarang, dia baru belanja saya makan. Jadi, saya tak berhasrat untuk mempertikaikan ayatnya atau melawan kata-katanya. dia nak berkawan dengan saya sudah cukup baik. Dia memang seorang yang bersahaja, dan mungkin agak kasar, yang penting, sikapnya kena dengan jiwa saya.

"Tengok  IC sekejap!" suruhnya tiba-tiba.

"Ha?" saya dah terpinga-pinga. Apa, dia ingat saya ini PATI kah?

"Tunjuk saja, Mykad kau.."katanya separuh mendesak.

Saya segera mengeluarkannya...

"Kau tengok ni!"

Ketika itu saya mengagak, yang dia ingin saya memastikan perkataan Islam yang tertera di kad berwarna biru itu.Halah..klise sangatlah..

"Mana?" ujar saya bena-tak bena.

"Tengok nombor ni.. baca." jari telunjuknya tepat pada deretan nombor di bahagian atas kad itu.

"890122-08-8***" ujar saya,mengikut saja rentaknya.

"Kau tahu ni nombor apa?"

"Tarikh lahir akulah!" saya sudah bengang. Berani berani dia seolah memperbodohkan mahasiswa seperti saya!


"Oh, tarikh lahir kau.. Kau tengok betul-betul atas kad ni.. tengok.." suaranya juga sudah naik satu oktaf. Hairannya saya menurut saja suruhannya itu. Memerhati seluruh permukaan kad kecil itu. Seolah baru hari ini saya menatap kad yang sudah lebih sedekad bersama saya itu.

"Cuba kau cari, ada tarikh mati kau?"

Saya tersentak. Terdiam. Rasa seperti degup jantung terberhenti.

Mungkin ayat ini dituturkan dengan nada yang tidak setinggi penyanyi opera cina. Atau leteran yang selalu saya dengar dari ibu saya bila saya pulang lewat sehingga santak maghrib ketika kecil dahulu. Tapi suara yang SANGAT BERSAHAJA ini berjaya menyentap jantung saya. Mengejutkan saya dari lena yang panjang.


"Cuba cari tarikh mati kau" suara itu seakan dimain semula diminda. Berkali-kali, sekalipun dia sudah lama berlalu. Aduh, saya rasa macam baru saja dilempang.

Mati. Satu perkara pasti yang kita tak tahu bila. Tarikh lahir semua orang tahu, tapi tarikh mati, siapa tahu? Siapa tahu? Kecuali Yang Maha Tahu?

Jadi, apa yang saya tunggu? Menangguh-nangguh dari berbuat kebaikan? Menangguh dari berhijrah? Menandakan tarikh-tarikh sesuai untuk berubah? Bagaimana kalau maut hadir sebelum sempat saya berbuat apa-apa? Saya nak bentangkan apa pada Allah? Allah, tiba-tiba saya rasa malu.  Saya tidak akan bersedia untuk berubah jika saya tidak menyediakan diri saya untuk berubah. hanya menunggu rasa 'betul-betul sedia' datang sendiri. tidak! saya harus SELALU SEDIA DAN BERUBAH!

Allah.. Ampunilah hambaMu ini..Aku mahu berubah HARI INI, aku mahu bertaubat HARI INI, aku mahu dekat denganMu HARI INI,kerana tarikh matiku tiada dalam IC!

(catatan diari imaginasi, namun selalu berlaku pada manusiawi)


Penulis: Zubaidah Abd. Rahim (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting